| |
| Redza Rafiq Abdul Razak Ketua Eksekutif NCIA Yang Baharu |
| Bernama ,
28 December 2009 |
| By : Bernama |
 |
| |
KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Redza Rafiq Abdul Razak sebagai ketua eksekutifnya yang baharu, berkuatkuasa 1 Januari, 2010 dengan tempoh kontrak selama tiga tahun.
Dalam satu kenyataan Isnin, NCIA berkata pelantikan itu adalah bagi menggantikan kekosongan susulan daripada permohonan Datuk Seri Mohd Annuar Zaini untuk meletakkan jawatan melalui surat beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 25 November, 2009.
Permohonan peletakan jawatan Mohd Annuar telah diterima oleh NCIA untuk boleh berkuatkuasa pada 31 Dis, 2009, kata kenyataan itu.
Perdana Menteri selaku pengerusi NCIA, dan ahli-ahlinya telah merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Annuar di atas sumbangan besar beliau dalam menerajui Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sejak awal penubuhannya sehingga ke tahap kemajuan yang telah dicapai pada masa ini.
Redza, yang pada masa ini ialah Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Cyberview yang kemudiannya diamanahkan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview pada Julai 2004 untuk menstrukturkan dan membangunkan semula Cyberjaya.
Beliau telah terlibat dalam pembangunan Cyberjaya semenjak 1997.
Redza memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains dari Universiti Hull, United Kingdom dan Ijazah Pengurusan Perniagaan (MBA) dalam bidang Kewangan dan E-Perdagangan.
Beliau, sebelum bertugas di Cyberview telah berkhidmat dengan Multimedia Development Corporation (MDeC).
Peranan utama beliau di MDeC adalah memastikan kemapanan kewangan MDeC dan anak syarikat modal terokanya; dan membantu keberkesanan penyampaian program-program yang dirangka ke arah mencambah pertumbuhan industri teknologi maklumat dan komunikasi melalui inisiatif MSC Malaysia.
Beliau juga bertanggungjawab dalam penstrukturan semula kewangan MDeC.
Redza merintis kerjayanya di Kumpulan Syarikat Renong di bawah Pejabat Pengurusan Kumpulan Renong dan telah didedahkan kepada pelbagaian bidang pengurusan korporat.
Pada masa ini, beliau merupakan ahli lembaga pengarah untuk Syarikat Prasarana Negara Bhd, syarikat yang mewujudkan infrastruktur kenderaan awam iaitu tren dan bas awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah untuk Cyberview; Malaysia Venture Capital Management Bhd - iaitu firma modal teroka terbesar di Malaysia yang memberi fokus kepada pelaburan dalam sektor ICT; Fabtronic Sdn Bhd; Pendinginan Megajana Sdn Bhd dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia.
|
| |
| |
|