| |
| NCER: RM46.2 juta bina Modal Insan |
| Utusan Malaysia ,
11 February 2010 |
| By : Utusan Malaysia |
 |
| |
BUTTERWORTH 10 Feb - Sehingga 31 Januari lalu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan sebanyak RM46.2 juta bagi program pembangunan modal insan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pendekatan yang dibawa pihaknya dalam aspek modal ini adalah menyeluruh dan berbeza daripada amalan biasa.
Ini kerana, jelas beliau, ia memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada pelajar, graduan menganggur atau lepasan sekolah untuk mendapatkan pekerjaan.
"Kami mahu supaya semua lapisan masyarakat menikmati peluang yang ditawarkan dengan menyertai bidang diminati mereka seperti skil latihan berfokus atau keusahawanan.
"Malah banyak peluang keusahawanan yang disediakan sama ada dalam bidang pertanian, pembuatan atau pelancongan yang boleh membawa pulangan pendapatan tinggi kepada mereka," katanya ketika ditemui pada program Hari Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Tasek Gelugor di sini.
Redza menambah, selain bidang yang kompleks seperti mekanik mesin dan jentera, NCIA juga menyediakan peluang dalam bidang kebudayaan seperti khat atau sulaman dan pembuatan songkok.
Selain itu, katanya, bidang kesihatan seperti industri spa dan sauna yang selama ini menggunakan pekerja asing dari Indonesia dan Thailand boleh diceburi oleh anak tempatan dengan menonjolkan identiti Melayu tempatan.
Justeru, jelasnya, tiada alasan untuk penduduk di sekitar utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis yang terlibat dengan NCER untuk tidak memiliki pekerjaan atau masih menganggur.
"Malah peluang latihan dan kursus juga ditawarkan NCIA dalam bidang kesihatan melalui Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Sime Darby atau bidang pelancongan di Kolej Universiti Sunway.
"Dalam tempoh antara 1 Mac 2009 hingga 31 Januari lalu sahaja, sebanyak 6,823 peluang pekerjaan dan latihan berjaya diselaraskan NCIA di kawasan terlibat NCER," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, nilai pelaburan baru sektor swasta di NCER dalam pembangunan modal insan berjaya menarik RM1.8 bilion yang meliputi RM11.6 juta pelaburan secara langsung dan RM1.79 bilion pelaburan berkaitan infrastruktur yang dilaksanakan.
Angka itu, katanya, dijangka meningkat kepada kira-kira RM4.3 bilion dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang. |
| |
| |
|