| |
| NCIA pelawa firma maju Hutan Belum |
| Berita Harian ,
3 February 2010 |
| By : Zainab Mohd Yatim |
 |
| |
PIHAK Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menawarkan peluang kepada firma perunding tempatan untuk menghasilkan Pelan Induk Bersepadu (IMP) bagi pembangunan Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor yang terletak di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), dengan pelbagai aktiviti pelancongan tanpa menjejaskan ekologinya.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata firma perunding yang berminat dipelawa mengemukakan tender masing-masing sebelum 12 Februari ini.
“Setakat ini kami sudah menerima tender daripada sembilan firma termasuk dari New Zealand dan Australia.
“Kami masih membuka permohonan sehingga 12 Februari ini dan matlamat tawaran ini adalah bagi mencari firma perunding berpotensi dan mempunyai kredibiliti menghasilkan usul bernilai merangkumi model ekonomi, pengurusan, pemuliharaan hutan dan sosiobudaya, selain menghasilkan pelan pembangunan yang memberi limpahan kepada ekonomi negara,” katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur.
Beliau yakin pelantikan firma perunding dapat dibuat menjelang Mac ini dan kandungan lengkap IMP dapat diumumkan dalam tempoh 12 bulan selepas itu.
Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) NCIA diberikan peruntukan sebanyak RM750 juta bagi pelaksanaan projek di NCER.
Redza Rafiq berkata, pembangunan di Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor bukan disasarkan untuk pembangunan tegar berasaskan konkrit hingga mencacatkan kualiti alam sekitarnya, sebaliknya ia akan dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan antarabangsa.
Antara keutamaan pembangunan hutan berkenaan merangkumi aktiviti berasaskan pelancongan, selain pertanian dan perikanan tanpa membabitkan penebangan hutan yang berleluasa.
“Dengan keluasan lebih 300,000 hektar, Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor yang berusia lebih 130 juta tahun dan belum tercemar, menyimpan pelbagai khazanah bernilai selain menjadi tempat tinggal pelbagai spesis binatang dan tumbuhan serta serangga, yang sukar ditemui di tempat lain di dunia,” katanya.
Beliau juga berkata, dalam persidangan Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor yang diadakan di Malaysia Oktober tahun lalu, pakar antarabangsa turut berkongsi pandangan mengenai pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti di Costa Rica dan Amazon di Peru dalam konteks sains farmasi dan perubatan.
Dalam hubungan itu juga, katanya Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor boleh berkongsi aktiviti dan potensi yang sama.
Dari segi bilangan pelancong, Redza Rafiq yakin dengan perancangan dan model pembangunan yang betul, Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor mampu menarik pelbagai peringkat dan kategori pelancong dari dalam dan luar negara.
|
| |
| |
|