Insentif
Infrastruktur “Lembut”
Infrastruktur fizikal yang disediakan akan digandingkan dengan elemen-elemen lain yang diperlukan bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk perniagaan – termasuklah penyediaan pembiayaan dan insentif, penggalakan akreditasi ke arah mencapai piawaian antarabangsa, pembangunan modal insan dan peningkatan sistem penyampaian sektor awam.
Insentif Kewangan
Insentif kewangan akan direka bagi menggalakkan syarikat-syarikat menjalankan aktiviti-aktiviti yang dipromosikan. Insentif tersebut adalah seperti yang berikut:
- Sektor Pertanian
- Pertanian moden dan berskala komersil / penternakan / akuakultur / penangkapan ikan laut dalam.
- Penyatuan pengurusan tanah.
- Penganjuran aktiviti pertanian dan pengeluaran melalui pengurusan komuniti luar bandar.
- Sektor Pembuatan
- Aktiviti pertanian hiliran seperti pemprosesan makanan, aktiviti hiliran kelapa sawit (seperti oleokimia) dan kayu getah atau produk getah
- Aktiviti elektrikal dan elektronik bernilai tambah tinggi seperti rekabentuk serta penyelidikan dan pembangunan
- Syarikat-syarikat tempatan yang menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat multinasional (misalnya dalam sektor automotif, elektrik & elektronik dan bioteknologi)
- Minyak dan gas
- Bioteknologi
- Bahan-bahan mampan, misalnya bio-plastik, gentian yang dibuat daripada sisa pertanian dan bahan komposit gentian plastik
- Automotif
- Sektor perkhidmatan
- Industri pelancongan mewah – pusat percutian bertaraf dunia, rumah-rumah percutian dan persaraan dan lain-lain tarikan pelancongan
- Penghasilan kraftangan yang bermutu tinggi dan terurus
- Pusat-pusat pengeluaran seni lukis dan balai seni lukis
- Pelancongan perubatan
- Perkhidmatan logistik merentas sempadan (terutamanya di antara Thailand, Sumatera dan Koridor Utara)
Pelbagai insentif kewangan sedang dirangka, yang mungkin meliputi bantuan, pembiayaan modal teroka dan insentif fiskal.
Seterusnya, insentif-insentif bukan kewangan (seperti memberikan pengecualian daripada garis panduan dan syarat-syarat tertentu yang lazimnya dikenakan oleh pihak Kerajaan) akan diperkenalkan di mana sesuai.
Menyediakan Persekitaran yang Membolehkan Akreditasi Piawaian Antarabangsa
Akreditasi piawaian antarabangsa adalah mustahak bagi menjamin pengiktirafan antarabangsa dan membolehkan produk-produk dan perkhidmatan daripada Koridor Utara dipasarkan di luar negara.
Dalam bidang pelancongan perubatan, hospital-hospital di Koridor Utara akan diberi bantuan dan insentif dalam usaha mendapatkan akreditasi JCI. Ini bertujuan meyakinkan pasaran bahawa hospital-hospital tersebut mampu menyediakan perkhidmatan penjagaan pesakit yang berkualiti tinggi.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat dalam industri pertanian hiliran akan diberi sokongan dan insentif untuk mendapatkan pensijilan Good Manufacturing Practices (GMP) dan HACCP bagi pembuatan dan pengendalian makanan, serta ISO 14001 bagi akreditasi pengurusan persekitaran.
Membina Modal Insan
Program-program pembangunan modal insan akan ditumpukan ke arah usaha mencapai tahap kecemerlangan dan nilai tambah yang lebih tinggi bagi industri-industri di dalam Koridor Utara, di samping mempelbagaikan kemahiran penduduk. Ini bertujuan untuk menangani isu pengangguran serta remaja yang meninggalkan alam persekolahan lebih awal. Kemahiran yang diberikan juga hendaklah sesuai untuk ekonomi luar bandar.
Inisiatif-inisiatif yang akan diambil adalah:
-
Pusat Kecemerlangan Mikro Elektronik Koridor Utara
Sebuah institusi yang dibiayai oleh Kerajaan, tetapi diuruskan oleh sektor swasta, akan ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada usaha melahirkan graduan-graduan bertaraf dunia dalam bidang-bidang yang dapat menyokong sektor elektronik tempatan. Bidang-bidang ini termasuklah kejuruteraan elektrikal dan elektronik, sains bahan, robotik dan automasi, serta pengurusan rantaian bekalan. -
Pusat-Pusat Kemahiran
Pusat-pusat kemahiran vokasional Kerajaan akan diperluaskan untuk pengambilan remaja berumur 15 tahun ke atas. Kurikulum akan diperkembangkan untuk merangkumi kemahiran yang relevan dengan ekonomi Koridor Utara, seperti perniagaan tani, akuakultur, pertanian padi, struktur-struktur pesisir luar minyak dan gas, dan industri automotif. Pusat-pusat tersebut akan beroperasi berdasarkan permintaan dan syarikat-syarikat swasta akan dijemput untuk menemuduga remaja yang terlibat dan mengenalpasti bidang latihan yang perlu mereka hadiri. Ini akan membolehkan remaja tersebut mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja kursus mereka tamat. -
Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih Sime Darby
Sime Darby akan berkongsi dengan institut-institut penyelidikan yang terkenal untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan benih bertaraf dunia di Perlis. Selain menjalankan penyelidikan ke atas benih padi, buah-buahan, jagung dan lain-lain tanaman, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih ini juga akan menjalankan penyelidikan agronomi dan menyebarkan amalan-amalan terbaik secara berterusan. -
Program Pembiayaan Pembangunan Modal Insan
Adalah diakui bahawa Malaysia, dan Koridor Utara khususnya, pada masa ini masih kekurangan kepakaran yang diperlukan untuk melonjak naik dalam rantaian nilai. Untuk mendapatkan kepakaran yang diperlukan, pegawai-pegawai yang terbabit mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk menjalani program pinjaman yang mungkin mengambil masa beberapa bulan atau tahun lamanya. Program Pembiayaan Pembangunan Modal Insan merupakan inisiatif Kerajaan untuk membantu dalam pembiayaan usaha-usaha tersebut. Dana akan diagihkan atas prinsip sama nilai dan hendaklah digunakan bagi menghantar warga negara Malaysia untuk dilatih di luar negara dalam bidang-bidang khas yang akan membolehkan aktiviti bernilai tinggi dijalankan di Malaysia. -
Program Biasiswa Pertanian Bintang Utara (“NorthStar”)
Untuk menggalakkan pembangunan kemahiran dalam bidang pertanian dan perniagaan tani, biasiswa akan diberikan bagi membolehkan penuntut-penuntut mendapat kelayakan yang berkaitan di peringkat ijazah dan pasca ijazah dari Universiti Putra Malaysia serta universiti-universiti terkenal di luar negara.
Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Sektor Awam
Sebuah organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan ditubuhkan untuk menerajui pembangunan sosial dan ekonomi di Koridor Utara, dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah digariskan dalam Rangka Tindakan. Struktur, peranan dan bidang kuasa organisasi ini sedang dalam proses perangkaan dan akan meliputi prinsip-prinsip kerjasama dan perkongsian kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.