Insentif Pembuatan
Penyediaan Dana dan Insentif-Insentif Fiskal
Sub-sektor pembuatan yang dipromosikan di Koridor Utara layak untuk memohon pakej Insentif Pembuatan Industri Wilayah Utara yang merangkumi insentif-insentif fiskal dan dana modal teroka.
Insentif-insentif ini disasarkan dengan tujuan menggalakkan syarikat-syarikat untuk melabur dalam bidang-bidang baru di wilayah ini seperti bioteknologi dan perniagaan asas tani dan untuk menggalakkan industri sedia ada seperti E&E untuk meningkatkan rantaian nilai yang lebih tinggi. Sebagai tambahan kepada senarai insentif-insentif yang biasa, pakej insentif khas dapat dirundingkan bagi projek-projek yang besar dan strategik.
Selain daripada insentif-insentif fiskal, pembiayaan dalam bentuk bantuan kewangan dan dana modal teroka juga akan disediakan dengan mengambil kira hakikat bahawa risiko modal adalah kritikal untuk penubuhan perniagaan-perniagaan terutama sekali dalam sektor-sektor di mana kos-kos permulaan adalah tinggi. Dalam sektor elektronik, syarikat-syarikat tempatan tidak boleh bersaing dengan syarikat-syarikat asing dalam pembuatan berketepatan tinggi kerana keperluan pelaburan modal dan teknologi yang tinggi. Selain itu, dana modal teroka juga akan membolehkan pengusaha-pengusaha memulakan perniagaan asas tani dan pemakanan yang dipromosikan di dalam inisiatif Koridor Utara.
Dana pelaburan akan disediakan untuk syarikat-syarikat yang berada di tahap awal untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti pembuatan di Koridor Utara. Ini termasuk pelaburan IKS dalam aktiviti-aktiviti sinergi kepada sektor E&E tempatan, sektor pertanian, sektor bahan-bahan mampan dan sektor bioteknologi.
Dana tersebut yang akan diuruskan oleh syarikat pengurusan dana yang profesional dan berpengalaman, bersama-sama dengan organisasi pelaksana Koridor Utara, akan memainkan peranan aktif dalam menambahkan dana ini melalui kutipan dari sektor swasta serta menggalakkan penggunaan dana tersebut. Sebagai contoh, dengan mempromosikan peluang bagi individu-individu untuk menjadi pengusaha-pengusaha, mengenalpasti bidang teknologi yang dapat dikomersilkan dan menyediakan perkhidmatan pemupukan untuk membantu syarikat-syarikat pelabur berkembang, termasuk membantu mereka berkembang ke luar negara.