Insentif Pelancongan
Bagi menarik pelabur-pelabur berprofil tinggi untuk melabur di Pulau Langkawi dan seterusnya meningkatkan daya tarikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf tinggi, Kerajaan akan menawarkan sebuah Pakej Insentif Pembangunan Pelancongan Koridor Utara. Pakej tersebut akan mencakupi insentif fiskal, penyediaan infrastruktur utama dan pengecualian daripada sesetengah keperluan yang lazimnya dikenakan oleh Kerajaan.
Walaubagaimanapun, beberapa syarat kelayakan perlu dipenuhi sebelum pelabur-pelabur tersebut boleh menerima insentif-insentif yang berkenaan. Ini termasuklah saiz minima bagi pelaburan awal, jenis pelaburan serta manfaat-manfaat yang bakal dihasilkan oleh projek-projek tersebut, contohnya dari segi bilangan pelancong asing dan anggaran perbelanjaan mereka.
Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang sedia ada untuk merancang, memudahcara dan memantau semua pelaburan di Pulau Langkawi bagi memastikan pembangunan industri pelancongan berlangsung secara mampan.
Dana Pembangunan Kraftangan
Bagi menggalakkan pelaburan sektor swasta untuk mengkomersilkan sektor kraftangan desa di Koridor Utara, Dana Pembangunan Kraftangan (HDF) yang berjumlah RM50 juta setahun akan dibangunkan untuk menyediakan modal awalan bagi syarikat swasta mahupun individu yang berminat untuk membangunkan industri kraftangan tradisional. Syarikat-syarikat tersebut harus komited dalam usaha membangunkan komuniti desa dengan melibatkan tukang-tukang kraf setempat dalam proses pembuatan dan juga memberi latihan pertukangan kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman di mana tahap buta huruf dan pengangguran adalah tinggi. Ini juga adalah untuk memastikan agar komuniti yang kurang bernasib baik akan mendapat manfaat daripada pendapatan yang tetap dan mencukupi.Sebagai contoh, industri sutera di Thailand kini menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 20,000 keluarga. Di samping itu, syarikat-syarikat yang terlibat akan dinilai berdasarkan pengalaman dalam pemasaran dan pembinaan jenama, kreativiti dan rangkaian antarabangsa. Matlamat program ini adalah untuk membina 3 jenama antarabangsa, dengan tumpuan kepada pengkomersilan barangan kraftangan Koridor Utara yang unik – batik, barangan perak dan ukiran kayu.
Untuk meletakkan kedudukan Koridor Utara sebagai pusat pelancongan perubatan yang terkemuka, semua hospital swasta di Wilayah ini harus memiliki cap kualiti yang diiktiraf dunia, supaya mendapat kepercayaan dan keyakinan para pesakit dari luar negara. Memandangkan perlunya usaha serta perbelanjaan yang sewajarnya bagi memperolehi akreditasi tersebut, organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyebarkan pengetahuan dan kemahiran dalam piawaian dan amalan yang perlu diterimapakai oleh hospital-hospital tersebut. Selain itu, pakej yang mengandungi insentif fiskal juga akan diberikan. Ini termasuk penyediaan pinjaman mudah bagi meningkatkan kemudahan, serta potongan cukai untuk kos akreditasi dan perbelanjaan promosi pelancongan perubatan.