Pertanian
Kedudukan Semasa
Pertanian adalah salah satu sektor ekonomi utama di negeri-negeri utara, melibatkan 21.7% tenaga pekerja bagi Perlis, 19% bagi Kedah, 18% bagi Perak dan 1.4% bagi Pulau Pinang1. Aktiviti-aktiviti pertanian di Koridor Utara merangkumi penanaman padi; penanaman tanaman-tanaman komersil seperti kelapa sawit, getah dan tebu; dan penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran. Daripada sejumlah 800,000 hektar kawasan pertanian utama2, hampir 42% ditanam dengan padi, lebih kurang 49% dengan kelapa sawit, 3% dengan getah dan 3% dengan tebu.
| Kawasan Tanaman | Kawasan Padi* | Getah | Kelapa Sawit | Tebu** |
|---|---|---|---|---|
| Hektar | ||||
| Perlis | 26,088 | 373 | 35 | 8,553 |
| Kedah | 106,632 | 13,567 | 72,321 | 11,324 |
| Pulau Pinang | 12,643 | - | 13,868 | - |
| Perak | 22,235 | 5,038 | 302,938 | - |
| Koridor Utara | 167,598 | 18,978 | 398,162 | 19,877 |
Sumber: Data Bank Negeri/Daerah, Jabatan Statistik, 2005
Laporan Tinjauan Penghasilan Padi, Malaysia (Musim Utama 2004/2005), Jabatan Pertanian, 2006 (m/s 15)
*Kawasan tanaman padi bagi musim utama, 2004/2005
** Pelan Struktur Negeri bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak
Pendapatan rendah para petani (berbanding pekerja sektor-sektor lain) berpunca daripada kadar pengeluaran tanaman yang rendah, yang disebabkan oleh beberapa faktor asas. Salah satu objektif utama Koridor Utara adalah untuk menangani faktor-faktor tersebut, seterusnya meningkatkan pendapatan petani dan juga sumbangan ekonomi sektor pertanian.
Koridor Utara akan dijadikan zon makanan moden bagi Malaysia, bermula dengan inovasi daripada pakar-pakar sains, yang kemudiannya digunapakai dan dikomersilkan oleh pihak industri berdasarkan piawaian antarabangsa dan dipasarkan ke pasaran domestik serta luar negara.
Perubahan dari amalan-amalan sedia ada kepada amalan-amalan “pertanian baru” adalah amat penting bagi menangani isu kadar pengeluaran yang rendah dan menambahbaik produktiviti tanah. Ini seterusnya akan meningkatkan sumbangan ekonomi sektor pertanian, menambah pendapatan penduduk luar bandar dan mengurangkan defisit perdagangan negara dalam bahan makanan yang telah meningkat kepada RM7.4 bilion pada tahun 20053.
Koridor Utara mempunyai beberapa kelebihan yang boleh dimanfaatkan bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor pertanian sekaligus mentransformasikan Wilayah ini sebagai zon makanan moden Malaysia:
Keluasan tanah yang diperuntukkan dan digunakan untuk aktiviti-aktiviti pertanian
Kira-kira 40% keluasan tanah Koridor Utara (932,581 hektar) diklasifikasikan untuk pertanian. Daripada jumlah ini, 595,615 hektar digunakan untuk penanaman padi, tebu, kelapa sawit dan getah. 167,598 hektar4 daripada keluasan ini ditanam dengan padi, iaitu mewakili 64% daripada jumlah kawasan penanaman padi di Semenanjung Malaysia.
Daripada 932,581 hektar tanah yang diklasifikasikan untuk kegunaan pertanian, kira-kira 100,000 hektar merupakan tanah terbiar. Tanah terbiar ini mempunyai potensi untuk digiatkan kembali.
Sesetengah kawasan di Utara seperti Perlis mempunyai musim kering dan hujan yang ketara. Ciri iklim ini menjadikan kawasan-kawasan ini sesuai untuk penanaman buah-buahan seperti mangga dan sebagai tapak untuk menguji ketahanan biji benih.
Rajah menujuk kepada penggunaan tanah di Koridor Utara dan pembahagian tanah pertanian di negeri-negeri Koridor Utara
Kewujudan masyarakat petani
Kecuali Pulau Pinang, kira-kira 20% penduduk di setiap negeri Koridor Utara terlibat dalam sektor pertanian seperti dalam penanaman padi, buah-buahan serta sayur-sayuran. Penglibatan yang agak tinggi ini menunjukkan bahawa penduduk yang sedia ada mempunyai pengetahuan dan amat biasa dengan amalan-amalan pertanian. Amalan-amalan ini boleh dipertingkatkan lagi dengan pengenalan beberapa program dalam Rangka Tindakan.
Sokongan institusi untuk aktiviti-aktiviti penanaman padi
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) memiliki 3 kawasan jelapang yang merangkumi 76% (127,737 hektar) daripada jumlah kawasan penanaman padi di Koridor Utara:
- MADA di Kedah mengurus sistem pengairan di kawasan jelapang MADA dan menyediakan subsidi bagi meningkatkan hasil padi selaras dengan program “Projek 10 Tan”.
- IADP Pulau Pinang dan Kerian menambahbaik infrastruktur penanaman padi seperti sistem pengairan, menyediakan subsidi baja dan juga memberi khidmat nasihat bagi mempertingkatkan tahap kemahiran petani.
Kewujudan institusi-institusi tersebut menyediakan mekanisma sedia ada bagi menyalur rancangan-rancangan peningkatan yang akan diperkenalkan melalui Rangka Tindakan.
- Laporan UNDP, 2004. Peratusan bagi Perak adalah berdasarkan jumlah untuk keseluruhan negeri
- Sumber: Pelan Fizikal Nasional, 2005 (m/s 4-9)
- Sumber: Rancangan Malaysia ke-9 dan Buku Panduan Statistik Pertanian, 2006
- Sumber: Laporan Kajian Pengeluaran Padi Malaysia (Musim Utama 2004/2005), Jabatan Pertanian, 2006