Program-program
Program-Program Pelaksanaan
Untuk mencapai matlamat-matlamat pertumbuhan sektor pertanian serta peningkatan pendapatan warga luar bandar, strategi-strategi di atas akan dilaksanakan melalui beberapa program.
Pendekatan berfasa akan dipraktikkan:

Program-program untuk pelaksanaan segera adalah seperti berikut:
- Penggabungan pengurusan tanah bagi mencapai skala komersil
- Menukar syarat tanah-tanah perindustrian terbiar untuk pertanian
- Menambahbaik infrastruktur
- Penyediaan peruntukan pembiayaan serta insentif
- Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih
- Penjenamaan global
- Pengukuhan modal insan
Program-program ini akan dilengkapkan oleh inisiatif-inisiatif sub-sektor bertumpu kepada tanaman padi, akuakultur, penternakan dan lain-lain.
Pengelolaan Pekebun-Pekebun Kecil dan Penggabungan
Pengurusan Tanah
Matlamat dalam mengelolakan pekebun-pekebun kecil serta menggabungkan pengurusan tanah adalah untuk mencapai skala pertanian yang komersil dan ekonomik. Ini akan meningkatkan kecekapan pada peringkat penanaman di samping membolehkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti hiliran secara komersil (misalnya, pengilangan).
Kebanyakan tanah di Wilayah Utara yang hendak diusahakan bukan tanah hutan atau tanah milik kerajaan yang luas dan bercantum. Sebahagian besar tanah di Koridor Utara terdiri daripada lot-lot kecil milik persendirian. Dengan itu, syarikat-syarikat swasta yang ingin menjalankan pertanian secara komersil hendaklah bekerjasama dengan pemilik- pemilik tanah yang sedia ada dan melaksanakan model perniagaan di mana hakmilik dan pengurusan tanah diasingkan. Pemilik akan mengekalkan hakmilik tanah tetapi bersetuju untuk memberi pengurusan tanah kepada syarikat tersebut yang akan mengurus tanah secara profesional. Sebagai contoh, syarikat besar berupaya membajak tanah seluas 50 hektar sehari dengan mesin manakala pekebun-pekebun kecil hanya dapat mengusahakan tanah mereka pada masa dan kadar yang berlainan, mengakibatkan kos yang tinggi sehektar. Kecekapan pengurusan profesional akan meningkatkan kadar pengeluaran dan ini akan memanfaatkan kedua-dua pemilik dan pengurus tanah.
Terdapat kira-kira 0.9 juta hektar tanah pertanian di Koridor Utara dan kebanyakannya dimiliki oleh orang persendirian. Memandangkan keluasan ini, beberapa pendekatan akan diusahakan untuk menyatukan pekebun-pekebun kecil bagi mencapai skala komersil. Empat pendekatan utama yang akan diambil adalah seperti berikut:
- Mengukuhkan peranan MADA dan IADP ke atas kawasan jelapang padi masing-masing. Peranan perbadanan ini akan diperluaskan lagi (contohnya, untuk meliputi 40,000 hektar kawasan padi yang bukan di bawah pengawasan mereka dan membolehkan penanaman tanaman selain daripada padi). Perbadanan-perbadanan ini akan juga dipertanggungjawabkan untuk melaksana tugas dengan lebih cekap melalui korporatasi dan akhirnya penswastaan.
- Penubuhan sebuah syarikat khas yang boleh dilantik oleh pemilik-pemilik tanah yang tidak atau kurang diusahakan untuk menguruskan tanah mereka. Syarikat tersebut akan berusaha untuk menggabung pengurusan lot-lot kecil sehingga dapat diusahakan pada skala yang komersil.
- Memperkenalkan pakej Insentif Pertanian Komersil Koridor Utara. Di bawah pakej ini, syarikat-syarikat sektor swasta layak menerima bantuan kewangan, pinjaman mudah dan insentif fiskal bagi menggalak mereka menjalankan pertanian secara besar-besaran bersama dengan masyarakat tempatan Koridor Utara.
- Mengukuhkan peranan koperasi-koperasi petani terutama sekali dalam menyatukan petani-petani ini untuk mencapai skala yang komersil.
Kawasan sawah padi akan dipimpin oleh MADA dan IADP. Tanah pekebun-pekebun kecil akan diurus oleh MADA atau IADP yang akan mengatur aktiviti-aktiviti seperti membajak, menanam benih, penggunaan baja dan penuaian hasil tanah. Pekebun-pekebun kecil akan mempunyai hak ke atas sebahagian daripada keuntungan tanah dan juga berpeluang untuk memperoleh pendapatan sebagai pekerja ladang. Program ini sedang dilaksanakan oleh MADA di Jelai dan akan ditingkatkan lagi secara berperingkat. Keberkesanan MADA dan IADP juga akan diperkukuhkan lagi melalui program-program lain seperti penambahbaikan infrastruktur pengairan dan dengan penstrukturan semula di bawah korporatasi dan penswastaan. Matlamat perubahan struktur ini adalah untuk memupuk pemikiran dan pengurusan yang berpandukan pasaran serta menumpu kepada pulangan pemegang saham. Ini akhirnya akan memanfaatkan pekebun-pekebun kecil sebagai pemegang saham juga.
Bagi tanaman-tanaman baru, usaha penanaman akan ditumpukan kepada tanah terbiar. Badan khas pengurusan tanah yang akan ditubuhkan serta syarikat-syarikat swasta akan bekerja bersama masyarakat tempatan untuk melaksanakan pertanian berasas “satu daerah satu produk”. Asas ini akan dapat memastikan bahawa kadar pengeluaran mencukupi bagi menampung aktiviti-aktiviti hiliran. Pemilik-pemilik tanah akan membenarkan syarikat yang bertanggungjawab untuk mengurus tanah mereka. Syarikat-syarikat tersebut juga akan membina dan mengurus bangsal-bangsal pertanian, tempat penyimpanan, pusat pengumpulan serta kilang-kilang. Pemilik-pemilik tanah akan memperolehi sebahagian keuntungan dan berpeluang untuk bekerja di ladang. Dengan amalan pertanian yang baik dan kualiti yang konsisten, syarikat-syarikat besar dapat membawa hasil-hasil terus ke pasaran utama seperti pasar raya hyper dan pasar raya besar.
Konsep yang sama akan dilaksanakan bagi sub-sektor penternakan ikan. Syarikat-syarikat besar akan digalakkan untuk melibatkan nelayan tempatan melalui penternakan ikan secara kontrak. Dengan itu, syarikat-syarikat tersebut dapat membantu untuk memastikan bahawa pengeluaran sesuai dengan permintaan pasaran serta memastikan kecekapan dalam pengumpulan, penyimpanan dan pengangkutan hasil.
Penggunaan Semula Tanah Industri Terbiar Sebagai Tanah Pertanian
Terdapat lebih daripada 70 estet-estet perindustrian di Koridor Utara. Selain daripada 10 kawasan perindustrian utama, kebanyakan estet-estet perindustrian tidak digunakan dengan sepenuhnya. Di bawah inisiatif Koridor Utara, walaupun terdapat promosi tambahan dalam aktiviti pembuatan (Bab 3), tanah-tanah industri terbiar yang selebihnya akan diguna semula sebagai tanah pertanian. Sejumlah 3,500 hektar tanah industri di Perlis, Kedah dan Perak boleh diguna semula.
Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan mengenalpasti projek-projek pertanian yang boleh dijalankan di estet-estet tersebut seperti hortikultur dan akuakultur.
Konsep pengezonan akan dipraktikkan bagi memastikan skala yang mencukupi dicapai untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pengumpulan dan penyimpanan.
Penambahbaikan Infrastruktur
Penambahbaikan sistem pengairan sedia ada serta penggabungan sistem ini dengan sistem pengurusan air adalah amat penting untuk meningkatkan tahap produktiviti pertanian di Koridor Utara. Ia dapat mengurangkan kesan daripada banjir dan kemarau, meningkatkan hasil tanah, membolehkan penambahan kitar pertanian bagi sesetengah tanaman (contohnya, penanaman padi 5 musim setiap 2 tahun berbanding 2 musim setiap tahun), dan membantu petani untuk mempelbagaikan pendapatan (contohnya, penggunaan tali air yang didalamkan untuk akuakultur).
Pembangunan sistem pengairan dan pengurusan air bersepadu bagi kawasan pertanian Koridor Utara merangkumi usaha memanjang, melebar dan mendalamkan tali air, membina empangan dan tasik. Satu pasukan tindakan bersama akan ditubuhkan melibatkan Jabatan Pengairan, organisasi pelaksanaan Koridor Utara dan pelabur-pelabur sektor swasta untuk mengkaji keperluan penambahbaikan secara terperinci. Selain daripada pengairan, penambahbaikan infrastruktur lain juga harus dilaksanakan seperti penambahan dan penyelenggaraan batas serta jalan di ladang. Pada masa yang sama, untuk menggalakkan pendekatan kelompok dalam penanaman tanaman baru, infrastruktur akan disediakan untuk dikongsi penggunaannya oleh syarikat-syarikat yang beroperasi di kelompok tersebut. Ini termasuk infrastruktur umum untuk pusat perikanan dan akuakultur, tapak-tapak pendaratan marin dan pusat-pusat penternakan .
Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih
Untuk mempercepatkan pembangunan Koridor Utara, syarikat Sime Darby Berhad akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih yang bertaraf dunia bertempat di Perlis. Sebagai sebuah institut swasta, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih ini akan berpeluang untuk bekerja rapat dengan pusat-pusat penyelidikan pertanian dan bioteknologi yang terkemuka di dunia.
Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih akan memberi tumpuan kepada penyelidikan benih secara konvensional dan juga menggunakan bioteknologi. Selain itu, benih baru ini juga akan dapat menghasilkan ciri-ciri buah yang lebih baik seperti hayat simpanan yang lebih panjang. Iklim di Perlis yang bermusim kering dan basah yang ketara akan menjadi salah satu suasana di mana benih-benih akan di uji untuk memastikan sama ada benih-benih tersebut sesuai dengan iklim.
Selain daripada penyelidikan benih, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih akan juga menjalankan penyelidikan di bidang hiliran (contohnya penemuan bahan-bahan aktif farmaseutikal), menyediakan khidmat nasihat agronomi kepada perniagaan pertanian di Koridor Utara dan juga membantu perniagaan-perniagaan pertanian mematuhi piawaian antarabangsa dan memperolehi sijil-sijil antarabangsa seperti GAP dan HACCP.
Industri nutraseutikal di Asia Tenggara dianggar meningkat kepada USD4.8 bilion menjelang 20101. Memandangkan industri ini akan membawa keuntungan yang tinggi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih akan menceburi bidang bio-tinjauan untuk menemui penggunaan bahan-bahan aktif yang bernilai tinggi dalam hasil tanaman seperti halia, bawang putih, kunyit yang boleh digunakan dalam nutraseutikal, kosmetik dan produk-produk farmaseutikal.
Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih akan bekerjasama dengan organisasi pelaksanaan Koridor Utara dan Jabatan Pertanian untuk melatih masyarakat petani supaya mematuhi GAP dan HACCP agar hasil keluaran mereka berkualiti tinggi dan dapat dipasarkan ke destinasi eksport utama.
Penjenamaan Global
Selaras dengan program-program untuk meningkatkan kualiti hasil pertanian di Koridor Utara terdapat beberapa inisiatif khas untuk mengukuhkan nilai jenama bagi membolehkan produk-produk memperolehi harga premium yang lebih tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebuah organisasi pemasaran yang profesional akan dilantik untuk menjenamakan dan memasarkan sesetengah produk Koridor Utara untuk mewujudkan kaitan kualiti dengan Wilayah ini, seperti “Australian Beef” dan “California Grapes”.
Untuk melengkapkan usaha-usaha penjenamaan, organisasi benih dan piawaian akan bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan kualiti ke atas syarikat-syarikat yang menggunakan jenama Koridor Utara bagi memastikan bahawa nilai jenama terpelihara.
Mengukuhkan Tenaga Pekerja
Bakat dalam bidang pertanian di Koridor Utara hendaklah diasak lagi untuk menggalakkan langkah ke arah pertanian baru. Program biasiswa akan diperkenalkan bagi membiayai pelajar-pelajar dari keluarga Koridor Utara untuk mempelajari subjek- subjek pertanian moden seperti pertanian bioteknologi di universiti tempatan dan asing.
Penubuhan Fakulti Pertanian bagi Koridor Utara juga sedang dirancang untuk menjamin kesediaan tenaga pekerja dan keperluan penyelidikan masa depan.
- Frost & Sullivan