Northern Corridor Economic Region

Strategi untuk Mara ke Hadapan

Sektor pertanian akan menjadi fokus utama bagi inisiatif Koridor Utara dan transformasi sektor ini merupakan satu objektif yang amat penting di bawah Rangka Tindakan. Koridor Utara akan ditransformasikan kepada “Zon Makanan Moden” bagi Malaysia. Sasaran bagi sektor pertanian Koridor Utara adalah seperti berikut:

Meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Koridor Utara

Di bawah Rangka Tindakan, pertumbuhan sektor pertanian akan dipercepatkan supaya sumbangannya kepada KDNK Koridor Utara dipertingkatkan daripada kadar semasa 12% kepada 15% pada tahun 2012.

Meningkatkan jumlah eksport hasil-hasil pertanian

Kedua-dua aktiviti pertanian asas dan hiliran (“upstream” dan “downstream”) akan dipromosikan supaya jumlah eksport hasil-hasil pertanian termasuk buah-buahan segar, buah-buahan diproses dan hasil daging akan meningkat. Melalui pertanian secara besar-besaran dan peningkatan produktiviti, adalah disasar supaya Koridor Utara mengeksport hasil pertanian bernilai RM48 bilion menjelang 2012.

Meningkatkan tahap pendapatan luar bandar

Pertumbuhan tahap pendapatan luar bandar akan dicapai melalui program-program yang mempelbagailkan sumber pendapatan petani, meningkatkan produktiviti tanah dan yang menambah nilai hasil pertanian.

Tiga langkah strategik akan dilaksanakan untuk mencapai sasaran-sasaran tersebut:

Menggalak pertanian komersil secara perkongsian bersama komuniti tempatan

Untuk menangani isu skala pertanian yang tidak komersil, penerimaan teknologi serta pemasaran, inisiatif Koridor Utara bertujuan untuk menggalak syarikat-syarikat swasta untuk melabur dalam sektor pertanian. Projek-projek ini hendaklah melibatkan masyarakat tempatan kerana sebahagian besar tanah pertanian adalah hakmilik persendirian penduduk tersebut. Kebanyakan kawasan milik kerajaan yang belum dimajukan telah diklasifikasikan sebagai kawasan yang sensitif dari segi alam sekitar, dan telah atau sedang diwartakan diwartakan sebagai kawasan-kawasan terkawal.

Memandangkan keperluan untuk bekerjasama dengan masyarakat tempatan, satu badan khas akan ditubuhkan untuk menggabungkan pengurusan tanah bagi membolehkan pengurusan secara profesional, samada oleh badan tersebut atau oleh pihak ketiga. Selain daripada penubuhan badan ini, insentif-insentif kewangan juga akan disediakan kepada syarikat swasta yang ingin menjalankan inisiatif penggabungan pengurusan tanah masyarakat tempatan.

Penyediaan insentif-insentif kewangan akan menggalak beberapa model perkongsian antara syarikat-syarikat besar dan masyarakat tempatan. Sebagai contoh, bagi pekebun-pekebun yang memiliki tanah, syarikat-syarikat ini akan dapat membantu menyediakan benih-benih untuk tanaman yang diperlukan oleh pasaran, menyelaras aktiviti-aktiviti penanaman dan penuaian, mengedar baja secara pukal dan menyebar amalan-amalan agronomi terbaik. Syarikat-syarikat ini hendaklah berganding bahu dengan masyarakat tempatan untuk memastikan hasilan memenuhi piawaian pasaran dan membantu dalam pembungkusan dan pengecapan sesuai dengan keperluan pelanggan. Bakal pengusaha-tani yang tidak mempunyai tanah pula boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar berdasarkan pertanian kontrak.

Pengkhususan tanaman

Selain daripada tanaman padi, tanaman baru berpotensi tinggi juga akan digalakkan. Konsep pertanian “satu daerah, satu produk” akan diperkenalkan semula untuk memastikan skala yang komersil. Sebagai contoh, dalam penanaman jagung, kawasan seluas 60,000 hektar diperlukan untuk menyokong proses mengetin di sebuah kilang. Dengan itu, pengkhususan tanaman mengikut zon adalah penting bagi memastikan kemampanan ekonomi bukan sahaja pada tahap penanaman tetapi juga untuk tahap hiliran seperti pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran.

Pengenalpastian dan pemilihan jenis tanaman atau aktiviti pertanian untuk dijalankan bergantung kepada analisa teknikal dan pasaran oleh syarikat-syarikat swasta tersebut. Walaubagaimanapun, beberapa aktiviti berpotensi tinggi telah juga dikenalpasti seperti penternakan secara fidlot; akuakultur; penternakan ikan di persisiran pantai; penangkapan ikan secara komersil; dan penanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan herba seperti mangga, buah pitaya dan halia. Pengusaha akan digalak untuk melabur di dalam sektor-sektor ini melalui beberapa program bantuan seperti latihan kemahiran, penyediaan benih-benih bermutu dan insentif kewangan.

Selain daripada itu, organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan mencipta satu jenama bagi keluaran wilayah Koridor Utara yang berpotensi tinggi. Kualiti akan dikawal melalui benih dan pemantauan badan-badan piawaian, manakala sebuah syarikat pemasaran profesional akan dilantik untuk mempromosikan jenama tersebut di pasaran domestik dan luar negara. Ini akan meningkatkan daya tarikan keluaran tersebut di pasaran.

Memperkenalkan teknologi pertanian bertaraf dunia

R&D akan ditingkatkan, dipandu oleh keperluan pasaran, dengan penubuhan satu Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih yang dikendalikan oleh sektor swasta. Amalan-amalan pertanian dan bahan-bahan penanaman bermutu akan dibangunkan dan disebarkan di Koridor Utara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti serta kualiti hasil pertanian. Pusat ini akan menggalakkan penggunaan benih bermutu tinggi bagi semua tanaman utama Koridor Utara. Contohnya, bioteknologi akan dimanfaatkan untuk mencipta benih padi yang sesuai untuk jenis tanah di kawasan tersebut, menambahkan hasil padi dan meningkatkan kebolehan menentang sebarang penyakit dan serangga perosak.

Di samping itu, pematuhan piawaian antarabangsa seperti GAP dan HACCP akan digalakkan. Penyelidikan untuk industri hiliran seperti carian kandungan farmasutikal yang aktif juga akan dilaksanakan.

Copyright © 2008 Koridor Utara