Sub-Sektor
Inisiatif-Inisiatif Spesifik Sub-Sektor
Selain daripada program-program di atas, inisiatif spesifik akan dilaksanakan sama ada untuk memodenkan pertanian tanaman-tanaman yang sedia ada atau untuk menggalakkan pertanian moden secara besar-besaran di kawasan yang berpotensi tinggi.
Antara sub-sektor yang dikenalpasti adalah seperti berikut:
- Penanaman padi
- Akuakultur dan perikanan
- Penternakan haiwan
- Kebun buah-buahan dan tanaman kontan serta estet sayur-sayuran
- Herba, hortikultur dan produk-produk makanan premium
- Tanaman-tanaman komersil semasa - kelapa sawit dan getah
Penanaman Padi
Sektor padi berpotensi untuk meningkatkan produktiviti daripada tahap pengeluaran semasa iaitu 3-5 tan sehektar kepada 8 tan sehektar menjelang 2012 dan 9-10 tan sehektar menjelang 2020 jika isu-isu semasa seperti infrastruktur pengairan dapat ditangani. Ini akan meningkatkan tahap pendapatan petani-petani dan juga mengurangkan pergantungan atas import padi dari negara lain.
Rajah menunjuk kepada Kelompok-Kelompok Padi
Inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran padi dan menambah pendapatan petani termasuk:
- Penghasilan biji benih padi bermutu tinggi di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih
- Penambahan bilangan pengeluar biji benih yang diperakui
- Pewartaan kawasan jelapang utama untuk melindungi kawasan padi daripada digunakan untuk tujuan selain pertanian makanan
- Pelaksanaan program pertanian bersepadu untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pendapatan petani, contohnya, penternakan ikan di dalam tali air atau penanaman buah-buahan dan tanaman kontan di sepanjang batas
- Penambahan nilai kepada hasil padi dengan menggalak aktiviti hiliran berasas dedak, jerami dan sekam padi
- Penukaran jenis tanaman bagi petani-petani di kawasan yang tidak dirangkumi sistem pengairan moden
Akuakultur dan Perikanan
Koridor Utara dianugerahkan ciri-ciri semulajadi yang memanfaatkan sektor perikanan dan akuakultur seperti kepelbagaian spesies ikan, kawasan pesisiran pantai sepanjang 700km dan kewujudan sumber-sumber air tawar. Kementerian Pertanian telah mengenal pasti 217 hektar tanah di Perlis dan 202 hektar tanah di Ulu Lenggong, Kedah, yang sesuai digunakan untuk aktiviti-aktiviti akuakultur.
Rajah menunjuk kepada Kelompok-Kelompok Perikanan dan Akuakultur
Inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan perikanan dan akuakultur termasuk:
- Penubuhan pusat penetasan di Kedah khusus untuk penternakan anak-anak ikan premium untuk
makanan atau hiasan - Pembangunan industri perikanan laut dalam dan kilang-kilang pemprosesan ikan di Kuala Perlis
- Pengezonan kawasan pesisiran pantai tertentu untuk penternakan ikan dan kerang-kerangan di dalam sangkar
- Pendalaman tali air untuk membolehkan aktiviti-aktiviti akuakultur
Penternakan Haiwan
Rajah menunjuk kepada Kelompok-Kelompok Penternakan Haiwan
Pembangunan sektor penternakan haiwan akan dapat membantu mengurangkan pergantungan atas daging import dan juga mewujudkan sumber pendapatan tambahan bagi para petani di antara kitar menanam dan menuai.
Inisiatif-inisiatif untuk menggalak penternakan haiwan termasuk:
- Pembangunan sistem fidlot di tahap kampung dan daerah, dengan Pusat Fidlot Kebangsaan, Gemas sebagai sumber pembiakan haiwan
- Pengubahan estet-estet industri yang terbiar kepada ladang ternakan premium. Ini akan menjadi kawasan-kawasan berteknologi tinggi yang tertumpu ke atas produk- produk daging premium seperti burung unta, rusa dan ayam kampung
- Pembangunan pusat pemprosesan halal di Sg. Petani, Tasik Gelugor dan Padang Besar khusus untuk pasaran eksport
Buah-buahan dan Sayur-Sayuran
Penanaman buah-buahan, sayur-sayuran, herba dan rempah-ratus akan digalakkan di kawasan tanah yang terbiar. Ini akan menjana sumber-sumber pendapatan baru bagi petani dan meningkatkan pertumbuhan eksport Malaysia.
Rajah menunjuk kepada Kelompok-Kelompok Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran
Inisiatif-inisiatif untuk menggalak pertanian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk:
- Penghasilan benih-benih berkualiti tinggi di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih
- Melatih dan menggalak petani-petani padi untuk menanam pokok buah-buahan dan tanaman kontan di sepanjang tali air dan batas bendang
Herba, Hortikultur dan Produk Makanan Premium
Pasaran hortikultur global dinilai sebanyak USD80 bilion pada tahun 2004. Negeri Perak dan Pulau Pinang pada masa sekarang mempunyai sejumlah 110 hektar tanah yang dikhaskan untuk penanaman tanaman hiasan dan bunga-bungaan dan ini mempunyai potensi untuk dimajukan lagi.
Rajah menunjuk kepada Herba, Hortikultur dan Kelompok-Kelompok Makanan Premium
Inisiatif-inisiatif untuk menggalak pengeluaran herba, hortikultur dan produk makanan premium adalah seperti berikut:
- Membangunkan kawasan khas bagi penanaman tanaman khas premium yang mempunyai persekitaran terkawal dan steril, seperti rumah hijau. Beberapa estet perindustrian yang terbiar mungkin akan diubahsuai untuk tujuan demikian.
Tanaman Komersil: Getah dan Kelapa Sawit
Kira-kira 390,000 hektar tanah Koridor Utara ditanam dengan kelapa sawit oleh syarikat- syarikat perladangan manakala kira-kira 20,000 hektar tanah ditanam dengan pokok getah oleh pekebun-pekebun kecil. Sebahagian besar minyak sawit mentah digunakan oleh industri-industri oleokimia dan minyak masak di Seberang Prai. Sub-sektor huluan dan hiliran bagi kelapa sawit di Koridor Utara adalah matang dan kukuh. Jika dibandingkan dengan kelapa sawit, industri tanaman getah terdiri daripada pengusaha-pengusaha kecil yang bertaburan berdekatan dengan beberapa kawasan tanaman getah. Pengeluaran getah utama termasuk Standard Malaysian Rubber dan susu getah pekat yang sebahagian besar digunakan dalam pembuatan sarung tangan, benang getah, tayar dan tiub.
Usaha-usaha akan diambil untuk meningkatkan tahap pendapatan pekebun-pekebun kecil dan juga meningkatkan pertumbuhan sub-sektor melalui aktiviti-aktiviti hiliran.
Rajah menunjuk kepada Kelompok-Kelompok Kelapa Sawit dan Getah
Inisiatif-inisiatif termasuk:
- Menggalakkan FELDA dan syarikat-syarikat perladangan untuk menyebar amalan agronomi moden kepada pekebun-pekebun kecil sebagai sebahagian inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
- Memperkenalkan kaedah-kaedah perladangan campuran (contohnya penternakan) di dalam estet-estet kelapa sawit dan getah untuk meningkatkan tahap pendapatan
- Menggalakkan penanaman semula getah dengan baka berhasil tinggi dan baka berbatang besar sesuai
untuk estet kayu-getah - Menggalakkan penanaman ladang hutan di kawasan yang terbiar, kurang subur dan berbukit
- Mewujudkan taman-taman keluaran kayu bagi membolehkan perkongsian peralatan seperti mesin pengeringan