Modal Insan & Pendidikan
Struktur Penduduk Koridor Utara Mengikut Kumpulan Umur (%)
Sumber: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia – Pendidikan dan Ciri-Ciri Sosial Penduduk, 2000
(S): Seluruh negeri
Kualiti infrastruktur pendidikan dan perkhidmatan
Bilangan guru di Wilayah Utara didapati memadai jika dilihat dari segi nisbah antara kelas dengan guru yang agak tinggi di dalam negeri-negeri yang terletak di dalam Koridor Utara. Sebagai contoh, dalam kategori sekolah menengah, negeri Perlis mencatatkan nisbah antara kelas dengan guru yang paling tinggi di Koridor Utara iaitu 1:2.41, diikuti dengan negeri Kedah (1:2.15), Pulau Pinang (1:2.09) dan Perak (1:2.04). Nisbah-nisbah tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan nisbah purata negara iaitu 1:1.93.
Sungguhpun banyak usaha telah terlaksana bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan pendidikan (termasuk makmal sains dan makmal komputer, perpustakaan serta kemudahan-kemudahan sukan) di semua sekolah, namun ia mungkin masih belum mencukupi. Keadaan ini perlu ditangani dengan segera kerana ianya boleh membawa kesan yang negatif kepada prestasi akademik dan ko-kurikulum khususnya di sekolah-sekolah luar bandar, jika ia dibiarkan berterusan.
Bilangan individu di dalam Koridor Utara yang mempunyai kelayakan di bawah tahap PMR, 2000
Sumber: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia – Pendidikan dan Ciri-Ciri Sosial Penduduk, 2000
(S): Seluruh negeri
Bilangan Belia di Wilayah Utara
Sebahagian besar penduduk Koridor Utara terdiri daripada golongan belia di mana 41.7% (1.52 juta individu) daripada jumlah penduduk Koridor Utara berumur 20 tahun ke bawah dan 30.2% (1.1 juta individu) daripada jumlah penduduk Koridor Utara berada dalam lingkungan umur antara 20-39 tahun. Bilangan belia yang begitu ramai di Wilayah Utara bermakna bahawa terdapat satu keperluan yang semakin besar untuk pendidikan yang berkualiti tinggi dan kursus kemahiran yang bersesuaian. Ini akan memastikan agar tenaga kerja di Wilayah Utara pada masa hadapan bersedia menghadapi cabaran-cabaran semasa.
Nisbah Kelas-Guru di Sekolah-Sekolah Rendah dan Menengah di Koridor Utara dan Malaysia, 2005
| Negeri | Sekolah Rendah | Sekolah Menengah | ||||
|---|---|---|---|---|---|---|
| Guru | Kelas | Nisbah kelas:guru | Guru | Kelas | Nisbah kelas:guru | |
| Perlis | 1,927 | 877 | 1:2.20 | 1,958 | 812 | 1:2.41 |
| Kedah | 14,139 | 6,979 | 1:2.02 | 10,675 | 4,974 | 1:2.15 |
| Pulau Pinang | 8,705 | 4,640 | 1:1.88 | 7,138 | 3,422 | 1:2.09 |
| Perak (S) | 17,444 | 9,100 | 1:1.92 | 13,899 | 6,808 | 1:2.04 |
| Koridor Utara | 42,215 | 21,596 | 1:1.95 | 33,670 | 16,016 | 1:2.10 |
| Malaysia | 188,514 | 98,400 | 1:1.92 | 133,571 | 69,152 | 1:1.93 |
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
(S): Seluruh negeri
Pembangunan institusi-institusi vokasional dan teknikal
Ekonomi di Wilayah Utara bergantung kepada sektor pertanian, pembuatan dan pelancongan. Justeru itu, pusat-pusat pendidikan di Wilayah Utara harus membantu mereka yang layak untuk memperolehi kemahiran-kemahiran spesifik yang sesuai dengan ekonomi luar bandar seperti agronomi, kejuruteraan, penyelenggaraan peralatan, reka bentuk dan pengeluaran kraftangan serta kemahiran memasak. Dengan itu, satu saluran pendidikan alternatif harus diwujudkan di mana golongan belia di Wilayah Utara diberi keupayaan untuk mengakses peluang-peluang pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi.
