Strategi Untuk Mara Ke Hadapan
Strategi utama yang akan digunakan untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut adalah untuk menyalurkan inisiatif-inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di kalangan sektor swasta ke arah meningkatkan akses dan kualiti pendidikan yang disampaikan di Koridor Utara. Pelaksanaan strategi ini dijangka akan dapat meningkatkan tahap pencapaian pendidikan golongan belia dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan prospek pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi bagi golongan tersebut.
Bagi mereka yang kurang cenderung ke arah bidang akademik, satu program pendidikan vokasional untuk golongan remaja akan diperkenalkan untuk diperintiskan di Koridor Utara. Sistem in bertujuan untuk membanteras masalah pelajar meninggalkan sistem persekolahan pada usia yang masih muda.
Program "Sekolah Angkat"
Inisiatif-inisiatif CSR di kalangan sektor swasta di Wilayah Utara akan bertumpukan
kepada program “Sekolah Angkat”.
Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan mengenalpasti beberapa sekolah di Wilayah Utara yang dianggap memerlukan perhatian serta bantuan untuk dijadikan calon bagi
program “Sekolah Angkat”. Calon-calon sekolah tersebut mungkin terdiri daripada
sekolah-sekolah daif di kawasan luar bandar di mana majoriti pelajarnya adalah dari
kalangan keluarga miskin tegar. Organisasi pelaksanaan Koridor Utara juga akan
membantu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang dihadapi di Wilayah Utara. Dengan timbulnya kesedaran tersebut, maka sektor swasta mungkin akan lebih terdorong untuk memberi bantuan secara langsung kepada sekolah-sekolah tersebut.
Di bawah program “Sekolah Angkat”, syarikat-syarikat swasta akan dipelawa untuk membantu sekolah angkat masing-masing untuk mengatasi isu-isu tertentu seperti infrastruktur dan kemudahan pendidikan, kebajikan pelajar dan mutu pendidikan yang disampaikan.
Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan menyediakan satu senarai langkah-langkah spesifik yang patut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat swasta berkenaan di sekolah angkat masing-masing. Ini termasuk:
- Memeriksa infrastruktur sekolah dan memastikan agar pentelenggaraan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
- Memastikan pelajar-pelarjar berupaya ke sekolah. Ini termasuk memastikan pengangkutan dan bekalan makanan disediakan serta menganjurkan program pendermaaan untuk mengumpul pakaian, buku teks dan buku latihan untuk kegunaan pelajar-pelajar miskin.
- Mengelolakan program Education Outreach untuk mendidik ibubapa di kawasan pedalaman tentang kepentingan pendidikan untuk anak-anak mereka.
- Memeriksa tahap pendidikan pelajar-pelajar dan menganjurkan program-program tambahan untuk Bahasa Inggeris dan Matematik, memgikut keperluan.
- Menyediakan peralatan sukan serta menganjurkan aktiviti-aktiviti sukan untuk meningkatkan tahap kecermelangan sukan di antara golongan belia serta membantu meningkatkan pilihan aktiviti-aktiviti riadah yang sihat yang boleh diserai oleh golongan belia.
Melanjutkan Latihan Vokasional untuk Golongan Remaja
Hakikatnya tidak semua pelajar yang cenderung ke arah akademik. Ada antara pelajar- pelajar yang tidak mampu menyerlah dalam persekitaran akademik; menyebabkan mereka kurang minat dan akhirnya meninggalkan sistem persekolahan lebih awal. Untuk mengatasi masalah sosial yang mungkin timbul dari situasi sebegini, satu program kebangsaan latihan vokasional bagi golongan remaja di bawah umur 18 tahun akan dirintiskan di Wilayah Utara.
Untuk memastikan program perintis ini berjalan lancar, organisasi pelaksanaan Wilayah Utara akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk membangunkan kurikulum yang sesuai bagi subjek-subjek baru yang akan diperkenalkan di bawah program tersebut.
Dua program spesifik akan dilaksanakan. Program pertama akan mensasarkan golongan belia yang berumur 15 tahun ke atas (termasuk graduan ataupun pemegang diploma yang ingin mempelajari satu set kemahiran yang berbeza), manakala program kedua akan mensasarkan golongan pelajar sekolah yang berumur 12 tahun keatas iaitu pelajar-pelajar yang telah tamat sekolah rendah.
Program pertama – yang mensasarkan golongan belia yang berumur sekurang-kurangnya 15 tahun – bertujuan untuk memadankan pengeluaran kemahiran dengan permintaan untuk kemahiran. Syarikat-syarikat di Koridor Utara akan dijemput untuk menemuduga bakal-bakal pekerja serta mengenalpasti jenis-jenis latihan kemahiran yang diperlukan oleh individu-individu berkenaan.
Individu-individu yang terpilih akan diberi latihan dan kemudiannya akan diambil bertugas di dalam syarikat-syarikat tersebut. Remaja diantara umur 15 hingga 17 mungkin diminta melalui beberapa siri latihan pengesahan yang akan mengambil masa 2 hingga 3 tahun. Latihan pengesahan tersebut adalah untuk menyediakan golongan remaja tersebut supaya lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.
Program kedua – yang mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah – bermatlamat untuk mengurangkan jumlah pelajar yang meninggalkan sistem persekolahan lebih awal. Satu kurikulum vokasional baru akan dibangunkan dan diintegrasikan ke dalam sekolah-sekolah kebangsaan yang terpilih di Koridor Utara. Di bawah program tersebut, pelajar-pelajar akan hanya mengambil subjek-subjek asas (seperti bahasa dan matematik) dan menumpukan masa persekolahan yang selebihnya kepada subjek-subjek yang sesuai dengan ekonomi luar bandar, contohnya, pengeluaran kraftangan moden, pertanian moden dan perniagaan asas-tani.
Untuk melaksanakan program perintis tersebut, organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk membangunkan kurikulum baru bagi subjek-subjek yang diperintiskan. Kurikulum tersebut akan mendedahkan pelajar-pelajar kepada asas-asas sains pertanian (sebagai contoh, keperluan zat bagi hasil-hasil tanaman dan kesan gen-gen ke atas mutu benih). Pendedahan juga akan diberikan kepada kemahiran asas perniagaan (sebagai contoh, bagaimana membuat unjuran perolehan serta mengira kos dan keuntungan). Latihan praktikal dalam bidang-bidang tersebut juga akan diberikan.
Program tersebut dijangka mengambil masa 3 tahun. Ini bermakna bahawa pelajar-pelajar akan meninggalkan sistem persekolahan sekurang-kurangnya pada umur 15 tahun. Mereka juga akan lebih berupaya untuk melanjutkan pelajaran dengan mengikuti program-program latihan vokasional yang sedia ada atau diserap ke dalam perniagaan keluarga mereka.
Program ini akan diperluaskan secara berperingkat untuk merangkumi kursus-kursus lain serta kawasan-kawasan lain mengikut keperluan.
