Northern Corridor Economic Region

Cabaran-Cabaran

Walaupun Koridor Utara menyumbangkan lebih daripada satu per tiga eksport pembuatan negara, terdapat beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian supaya sektor ini dapat diperkembangkan dan diperkukuhkan lagi.

Meningkatkan Daya Saing Dalam Menarik Pelaburan

Dalam tempoh satu dekad yang lepas, perkembangan automasi telah mengurangkan kepentingan kos tenaga kerja dalam industri pembuatan terutama sekali di dalam sektor E&E. Pada masa yang sama, negara-negara lain di rantau ini telah lebih berdaya saing dalam menarik pelaburan asing. Beberapa kerajaan asing juga telah menawarkan insentif-insentif kepada syarikat-syarikat untuk melabur di negara mereka. Oleh yang demikian, tawaran pengecualian cukai korporat tidak lagi menjadi daya tarikan. Pemilikan FDI Malaysia di rantau ini telah menurun akibat persaingan dari Vietnam dan Thailand. Negara-negara utama seperti China dan India juga merupakan destinasi FDI yang menarik kepada pelabur-pelabur.

Memandangkan Malaysia tidak berupaya menandingi beberapa aspek yang dimiliki negara-negara ini seperti pasaran tempatan yang luas dan kos tenaga buruh yang rendah, Malaysia dan Koridor Utara khususnya harus menjadi satu lokasi yang menarik kepada pelabur asing dan tempatan dengan mewujudkan kekuatan lain seperti modal insan dan kecemerlangan dalam penyelidikan.

Rajah 3.2: Peratusan Kemasukan FDI di Rantau Asia Tenggara bagi Tahun 1985-2005
Sumber: WIR 2006

Meningkatkan Nilai Tambah

Sementara pengeluaran dan eksport sektor E&E adalah tinggi, peratus nilai tambah tempatan dalam pengeluaran masih rendah dan tidak meningkat semenjak 5 tahun yang lalu. Sebagai contoh, pada tahun 2005, jumlah keluaran sektor E&E ialah RM282.8 bilion dan eksport pula ialah RM265.1 bilion. Walaubagaimanapun, nilai tambah adalah RM43.3 bilion atau 15.32% dari pengeluaran.

  2000 2005
RM Juta
Nilai tambah bagi sektorElektronik* 37,342 43,321
Jumlah pengeluaran sektorElektronik** 212,060 282,779
Nilai tambah sebagai peratusan pengeluaran 17.61% 15.32%

Rajah menunjuk kepada Pengeluaran Sektor Elektronik dan Nilai Tambah, 2000 dan 2005
* Sumber: Pelan Malaysia ke-9, m/s 109
** Sumber: Buku Tahunan Jabatan Statistik, 2005, m/s 99

Untuk meningkatkan penyumbangan sektor ini kepada ekonomi negara, industri-industri di Koridor Utara hendaklah beralih ke aktiviti-aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan mengukuhkan rangkaian industri mereka. Dengan pupukan dari Kerajaan, usaha ini akan dipermudahcarakan dengan persekitaran perniagaan yang mengizinkan dan berdaya-saing.

Malaysia, khususnya Koridor Utara, hendaklah mengambil kesempatan ke atas syarikat-syarikat dan pelaburan sedia ada yang lengkap dengan tapak pemasangan dan tapak ujian rantaian nilai elektronik berteknologi tinggi dan menggalakkan syarikat-syarikat tersebut untuk menempatkan aktiviti-aktiviti reka bentuk serta penyelidikan dan pembangunan di Malaysia. Kerajaan perlu memberi bantuan dan insentif supaya syarikat-syarikat tersebut menempatkan projek-projek seumpama ini di Koridor Utara. Pada masa yang sama, pembangunan modal insan yang berterusan diperlukan supaya tenaga kerja mempunyai kemahiran dan kepakaran yang setimpal dengan keperluan industri.

Penghijrahan Dari Luar Bandar ke Bandar

Tumpuan aktiviti-aktiviti pembuatan di Wilayah Utara telah menyebabkan ketidakseimbangan perindustrian di kalangan negeri-negeri utara dan penghijrahan dari luar bandar ke bandar. Ini telah merumitkan lagi ketidaksamaan pendapatan dan kemiskinan di kawasan luar bandar. Justeru itu, terdapat keperluan untuk menggalakkan pertumbuhan industri yang lebih seimbang untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan luar bandar dan mengelakkan pembangunan yang terlampau di kawasan bandar. Ini dapat dilaksanakan, contohnya, dengan menggalakkan sesetengah aktiviti pembuatan seperti perniagaan pertanian hiliran di kawasan pertanian luar bandar.

Copyright © 2008 Koridor Utara