Northern Corridor Economic Region

Program-Program

Program-Program Pelaksanaan

Seperti pertanian, suatu pendekatan berfasa akan diamalkan:

Beberapa program telah direka bentuk untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta untuk sektor-sektor yang dipromosikan. Ini termasuk penyediaan infrastruktur, insentif-insentif dan mengukuhkan modal insan.

Program-program yang akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Koridor Utara adalah seperti berikut:

  • Penyediaan dana dan insentif-insentif
  • Penubuhan Pusat Kecemerlangan Mikro-Elektronik
  • Pembiayaan program pembangunan modal insan
  • Penswastaan taman-taman industri dan teknologi
  • Menyediakan persekitaran yang mencapai pengiktirafan piawaian taraf dunia

Program-program penting ini akan diperlengkap dengan inisiatif-inisiatif kecil yang disasarkan kepada sektor-sektor yang spesifik.

Penubuhan Pusat Kecemerlangan Mikro-Elektronik

Untuk meletakkan Wilayah Utara sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti-aktiviti nilai tambah tinggi E&E seperti reka bentuk dan penyelidikan dan pembangunan, bekalan tenaga kerja yang berkelayakan tinggi serta relevan dengan industri amat diperlukan.

Pusat Kecemerlangan Mikro-Elektronik akan ditubuhkan untuk memenuhi objektif ini, dengan menumpukan perhatian kepada pengajaran peringkat sarjana muda dan juga penyelidikan. Pusat tersebut akan ditempatkan di Universiti Sains Malaysia dan akan berasaskan kepada kerjasama di antara kerajaan dan industri (iaitu perkongsian awam dan swasta).

Input dari industri akan diminta dalam merangka kurikulum pusat tersebut. Selain elektronik, bidang-bidang pengkhususan yang lain termasuklah kejuruteraan mekanikal (automasi, robotik ketepatan, sistem pemasangan mikro dan nano), kejuruteraan kimia (contohnya sistem pengedaran gas dan kimia), sains-sains bahan (penyelidikan dan pembangunan bahan pembungkusan) dan pengurusan rantaian pembekalan. Untuk mempercepatkan penubuhan Pusat tersebut, tenaga pengajar dari sektor industri dan pensyarah-pensyarah dari institut tempatan dan luar negara akan dicari dan dikenalpasti.

Dari segi penyelidikan dan pembangunan, pusat tersebut akan menjalankan penyelidikan yang dibiayai oleh Kerajaan dan juga projek-projek penyelidikan yang dibiayai secara bersama oleh Kerajaan dan industri. Bagi penyelidikan yang dibiayai oleh Kerajaan, satu lembaga pengawasan yang terdiri daripada anggota-anggota dari sektor industri, ahli-ahli akademik dan agensi-agensi kerajaan akan ditubuhkan. Tujuannya adalah untuk menentukan projek yang akan dijalankan, memantau perkembangan projek-projek, membantu menubuhkan usahasama yang menguntungkan dan membantu pemindahan teknologi ke dalam sektor industri.

Pada masa yang sama, penyelidikan yang dibiayai secara bersama turut disediakan untuk menggalakkan syarikat-syarikat multinasional menempatkan projek-projek penyelidikan mereka atau menubuhkan pusat kecemerlangan mereka sendiri secara “in-house” di Koridor Utara. Syarikat-syarikat layak untuk memohon dana penyelidikan ini selagi projek itu dijalankan di Koridor Utara dan terdapat warganegara Malaysia yang terlibat dalamnya.

Pentadbiran Pusat ini akan dipenyumberluarkan kepada pihak swasta, iaitu badan-badan swasta yang berpengalaman dalam penyelidikan operasi atau institut-institut pengajian akan dijemput untuk mengemukakan bida untuk menguruskan pusat tersebut berdasarkan asas konsesi. Syarikat-syarikat Malaysia yang bekerjasama dengan pusat-pusat kecemerlangan terkenal dalam bidang yang serupa akan digalakkan untuk memohon. Indeks Prestasi Penting (KPI) akan diwujudkan dan perbadanan pengurusan yang dipilih hendaklah memenuhi syarat-syarat KPI sebelum dana dapat dibelanjakan. Pada masa yang akan datang, Pusat tersebut dijangka dapat menjana pendapatannya sendiri dan walaupun Kerajaan masih terus membantu, bantuan akan dikurangkan.

Kebebasan yang diberikan kepada Pusat tersebut akan membolehkannya menarik, membangun, dan mengekalkan staf-staf akademik yang kritikal dalam menentukan kejayaan Pusat ini.

Copyright © 2008 Koridor Utara