Strategi Untuk Mara Ke Hadapan
Strategi utama bagi sektor pembuatan di Koridor Utara akan menggunakan 2 pendekatan untuk meningkatkan pelaburan di dalam sektor pembuatan daripada RM15.6 bilion pada tahun 2005 kepada RM24.3 bilion menjelang 2012. Pendekatan pertama melibatkan penambahan sumbangan KDNK sektor E&E yang sedia ada dengan meningkatkan nilai tambah, meningkatkan keupayaan untuk mencari dan mendapatkan komponen-komponen dan perkhidmatan sokongan tempatan dan merangsangkan kelahiran industri-industri baru seperti alat-alat perubatan-bio. Pendekatan kedua melibatkan penggalakkan terhadap penciptaan industri-industri baru seperti bioteknologi, bahan-bahan mampan (termasuk inisiatif “waste2wealth”), minyak dan struktur gas luar persisir pantai serta pemprosesan pengeluaran pertanian. Tambahan pula, dengan terdapatnya kelompok automotif yang tersedia ada di Wilayah ini, strategi yang dikenal pasti oleh Dasar Automotif Nasional akan diperkukuhkan lagi.
Mengukuhkan Rangkaian Industri dan Meningkatkan Nilai-tambah
Inisiatif Koridor Utara bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan untuk sesetengah kepakaran yang berkaitan dengan sektor E&E, termasuk reka bentuk silikon, reka bentuk automasi, bahan-bahan atau reka bentuk pembungkusan dan pengurusan rantaian pembekalan. Objektifnya adalah untuk meningkatkan keupayaan tempatan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan di bidang-bidang tersebut di Koridor Utara dan seterusnya menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat untuk menempatkan aktiviti-aktiviti tersebut di Wilayah ini ataupun menyumberluarkan (“outsource”) penyelidikan tersebut daripada operasi- operasi global mereka kepada pusat kecemerlangan yang ditubuhkan di Wilayah ini. Selain daripada itu, inisiatif Koridor Utara akan mengukuhkan pelaksanaan Pelan Induk Industri Ketiga yang bermatlamat untuk menggerakkan sektor E&E ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi iaitu daripada aktiviti-aktiviti pemasangan dan pengujian, kepada pemotongan dan penggilapan silikon wafer, reka bentuk cip dan fabrikasi wafer.
Selain daripada itu, inisiatif Koridor Utara akan mengukuhkan pelaksanaan Pelan Induk Industri Ketiga yang bermatlamat untuk menggerakkan sektor E&E ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi iaitu daripada aktiviti-aktiviti pemasangan dan pengujian, kepada pemotongan dan penggilapan silikon wafer, reka bentuk cip dan fabrikasi wafer.
Menggalakkan industri-industri Baru
Sumber-sumber pertumbuhan baru bagi sektor pembuatan akan diwujudkan dengan menggalakkan penubuhan industri-industri baru di Wilayah ini. Ini termasuk:
Bioteknologi
Sektor ini mempunyai potensi untuk memberi sumbangan ekonomi yang penting kerana ia digalakkan oleh aktiviti-aktiviti nilai tambah (contohnya penyelidikan dan pembangunan dan percubaan-percubaan klinikal), menghasilkan rangkaian industri yang signifikan (contohnya apabila produk-produk yang dicipta dapat dihasilkan secara komersil) dan dapat meningkatkan produktiviti aktiviti-aktiviti pertanian dan pembuatan yang sedia ada.
Koridor Utara mempunyai beberapa kelebihan yang dapat diumpilkan untuk menubuhkan kelompok bioteknologi. Universiti Sains Malaysia merupakan pemimpin dalam penyelidikan bioteknologi di Malaysia dan telah mewujudkan beberapa usaha kerjasama di antara industri dan tenaga pengajar. Selain itu, penyelidikan awal telah mengenal pasti beberapa kawasan yang mempunyai kepelbagaian-bio seperti Belum, yang menjadi bekalan spesies di mana tinjauan-bio (“bio-prospecting”) dapat dijalankan untuk menemui bahan-bahan aktif farmaseutikal yang berpotensi. Ini merupakan kelebihan yang dapat diumpilkan oleh Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal yang akan dibina di Pulau Pinang dan Pusat Bioteknologi Asli di Perlis.
Pertanian Hiliran
Inisiatif Koridor Utara bertujuan untuk meningkatkan aktiviti pertanian dan produktiviti di Wilayah Utara secara mendadak yang akan seterusnya meningkatkan pengeluaran pertanian. Skala aktiviti-aktiviti pertanian baru mesti ditingkatkan untuk memastikan ia cukup untuk menyokong aktiviti-aktiviti hiliran seperti pengeluaran pemprosesan makanan dan minuman, dan hasil bukan makanan termasuk bio-feul. Tambahan lagi, oleh kerana kedudukan Koridor Utara di dalam IMT-GT yang strategik, ia dapat menarik kawasan pedalaman Sumatera dan Thailand untuk membekalkan bahan-bahan seperti kelapa, buah-buahan dan daging yang diperlukan untuk menyokong industri-industri tersebut.
Bahan Mampan
Dengan peningkatan pengeluaran pertanian, sisa-sisa pertanian juga akan meningkat. Di bawah inisiatif “waste2wealth”, sisa-sisa seperti tandan kelapa sawit kosong dan sekam padi mempunyai potensi untuk dijadikan serabut gentian bagi industri kertas dan pembungkusan. Tambahan pula, tanaman komersil seperti minyak kelapa sawit dan minyak jagung dapat diproses menjadi bio-plastik. Aplikasi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi seperti kertas khas dan komposit-komposit plastik gentian sedang diperkembangkan lagi dan dapat dikomersilkan secara besar-besaran untuk meningkatkan nilai tambah daripada hasil-hasil pertanian Wilayah ini.
Minyak dan Gas
Tanjung Dawai akan menjadi tapak kepada laman untuk pemasangan struktur luar pesisir bagi industri minyak dan gas untuk pelanggan-pelanggan tempatan dan luar negara. Adalah dirancangkan supaya laman pemasangan ini menjadi yang pertama di Malaysia yang mempunyai kebolehan memasang struktur-struktur untuk laut dalam.
Mengukuhkan pelaksanaan Dasar Automatif Nasional
Inisiatif Koridor Utara adalah untuk menyokong objektif Kerajaan bagi merubah sektor automotif tempatan supaya ia lebih berdaya maju dan berdaya saing dengan meningkatkan skala operasi (contohnya rasionalisasi model), dirangkaikan ke industri global (melalui usahasama dengan rakan-rakan asing) dan mengukuhkan keupayaan tempatan. Dasar Automotif Nasional menggalakkan pendekatan berkelompok dalam penubuhan industri tempatan. Gurun, sebuah bandar di dalam Koridor Utara, telah dikenal pasti sebagai satu kawasan di mana syarikat-syarikat yang ditempatkan layak mendapat insentif.