Northern Corridor Economic Region

Program-Program - Logistik

Tourism

Dalam menjayakan Koridor Utara sebagai pusat logistik untuk IMT-GT, organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan menumpukan usaha terhadap meningkatkan tahap infrastruktur dan rangkaian perniagaan.

Memperkukuhkan Pelabuhan Pulau Pinang

Matlamat Koridor Utara adalah untuk meletakkan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan terkemuka di utara Malaysia dan pelabuhan yang terulung di IMT-GT. Ini akan melibatkan usaha mengurus atau menyediakan rangkaian pelabuhan-pelabuhan dalam kawasan IMT-GT, serta membangunkan keupayaan perkapalan pesisir pantai supaya sistem penghantaran antara kapal dapat ditingkatkan. Perkembangan kemudahan pelabuhan melalui pendalaman dermaga kontena dan pelebaran limbungan kontena untuk meningkatkan sistem perhubungan juga akan dilaksanakan.

Bagi merealisasikan peranan dan matlamat Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pusat pelabuhan serantau, pengurusan pelabuhan tersebut oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) perlu disusun semula dan diswastakan. Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan bekerjasama dengan pengurusan pelabuhan tersebut untuk merangka strategi yang baru yang dapat memacu pembangunan Pelabuhan Pulau Pinang.

Pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan diperluaskan untuk menjadi pusat kargo udara terulung di IMT-GT, sekaligus menyokong perkembangan kawasan perindustrian dan membina pasaran seberang laut untuk barangan cepat rosak yang bernilai tinggi.

Pelan perluasan bagi kemudahan lapangan terbang tersebut akan mencakupi pembinaan terminal penumpang dan kargo yang baru serta pembinaan landasan baru bagi menangani masalah peningkatan trafik. Keperluan untuk menyediakan infrastruktur sokongan seperti kemudahan bilik berhawa dingin untuk bahan makanan mudah rosak dan kandang binatang akan dikaji dengan lebih teliti.

Meningkatkan rangkaian perniagaan

Bagi menggalakkan pembangunan Koridor Utara menjadi pusat pemprosesan bagi menambah nilai hasil pertanian dari kawasan pedalaman di Sumatera dan Thailand, Kerajaan akan merangka insentif untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pelabuhan pilihan bagi syarikat perkapalan yang melalui laluan utara atau barat. Ini akan meningkatkan rangkaian perniagaan tersebut dan menggalakkan syarikat-syarikat dari Sumatera untuk menggunakan Pelabuhan Pulau Pinang untuk menghantar hasil barangan mereka.

Copyright © 2008 Koridor Utara