Northern Corridor Economic Region

Program-Program - Pelancongan

TourismPendekatan secara berperingkat akan diperkenalkan bagi memajukan sektor pelancongan di Koridor Utara, bermula dengan fasa pertama yang menekankan pembangunan di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, dan fasa-fasa seterusnya tertumpu kepada pembangunan di tanah semenanjung.

Program pelaksanaan yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:

  • Menarik pelabur bertaraf dunia untuk melabur di Pulau Langkawi
  • Mempelbagaikan tarikan pelancongan di Pulau Langkawi
  • Menambahkan aktiviti-aktiviti pelancongan melalui pembangunan di Penang City Centre dan Pulau Jerejak
  • Membangunkan destinasi pelancongan baru di tanah semenanjung Koridor Utara
  • Memastikan penambahan golongan profesional perubatan yang berterusan untuk menyokong pembangunan pelancongan perubatan di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi
  • Meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui akreditasi antarabangsa
  • Meningkatkan penyertaan penduduk setempat dalam sektor pelancongan melalui peningkatan skala dan kecemerlangan industri kraftangan
  • Meningkatkan penyertaan penduduk setempat dalam sektor pelancongan melalui pertanian setempat (in situ)

Mencari Pelabur Bertaraf Dunia untuk Melabur di Pulau Langkawi

Untuk menaiktaraf Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan dunia, organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan menarik minat hotel dan pusat peranginan yang terkemuka untuk mendirikan operasi di pulau tersebut. Tarikan semula jadi dan kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan oleh pusat-pusat peranginan tersebut akan meningkatkan tempoh tinggal para pelancong tempatan dan luar negara, sekaligus menjana peningkatan perbelanjaan pelancong serta menyokong peningkatan aktiviti ekonomi.

Salah satu cabaran utama ialah bilangan daya tarikan di pulau-pulau tersebut yang agak terhad. Kebanyakan daripada tarikan tersebut telah pun dimajukan menjadi pusat peranginan mewah. Bagi menggalakkan lebih banyak pembangunan pusat peranginan terkemuka untuk beroperasi di Pulau Langkawi, Kerajaan akan menggalakkan pengendali pusat-pusat peranginan tersebut untuk menjalankan pembangunan secara terkawal di pulau-pulau kecil di sekeliling Pulau Langkawi. Walaubagaimanapun, pengendalian pusat peranginan di pulau-pulau tersebut dijangka menelan belanja yang tinggi, dengan penambahan kos seperti membawa para pelanggan pergi balik ke pulau dan lapangan terbang. Kajian teliti perlu dilaksanakan bagi membandingkan pendapatan yang bakal diperolehi daripada para pelancong yang tinggal dalam tempoh lama dan banyak berbelanja, berbanding dengan insentif yang perlu ditawarkan kepada pusat-pusat peranginan tersebut bagi mendirikan operasi dan seterusnya menarik para pelancong untuk datang ke Pulau Langkawi.

Bagi menarik pelabur-pelabur berprofil tinggi untuk melabur di Pulau Langkawi dan seterusnya meningkatkan daya tarikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf tinggi, Kerajaan akan menawarkan sebuah Pakej Insentif Pembangunan Pelancongan Koridor Utara. Pakej tersebut akan mencakupi insentif fiskal, penyediaan infrastruktur utama dan pengecualian daripada sesetengah keperluan yang lazimnya dikenakan oleh Kerajaan.

Walaubagaimanapun, beberapa syarat kelayakan perlu dipenuhi sebelum pelabur-pelabur tersebut boleh menerima insentif-insentif yang berkenaan. Ini termasuklah saiz minima bagi pelaburan awal, jenis pelaburan serta manfaat-manfaat yang bakal dihasilkan oleh projek-projek tersebut, contohnya dari segi bilangan pelancong asing dan anggaran perbelanjaan mereka.

Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang sedia ada untuk merancang, memudahcara dan memantau semua pelaburan di Pulau Langkawi bagi memastikan pembangunan industri pelancongan berlangsung secara mampan.

Mempelbagaikan Daya Tarikan di Pulau Langkawi

Selari dengan usaha untuk membina pusat-pusat peranginan utama, beberapa inisiatif akan turut diambil untuk menambahkan bilangan daya tarikan di Pulau Langkawi. Inisiatif ini juga akan mengukuhkan nilai tarikan Pulau Langkawi kepada pelbagai jenis kumpulan sasaran, menarik pelancong untuk tinggal lebih lama dan sekaligus dapat meningkatkan perbelanjaan pelancong.

Pelaburan luar negara dan swasta akan digalakkan melalui beberapa insentif. Antara daya tarikan yang dirancang adalah seperti berikut:

  • Pusat pemuliharaan kehidupan laut (pembiayaan disasarkan daripada dana-dana pemuliharaan dunia)
  • Pertanian buah-buahan dengan program melawat kawasan pertanian dan program home-stay
  • Pelancongan kembara, seperti permainan flying fox, lompatan bungee, paint ball dan paragliding
  • Pusat-pusat pameran (mengelolakan pameran tetap dan pameran jangkamasa pendek dari seluruh dunia seperti pameran seni dan sains)
  • Pusat seni dan budaya, seperti opera Cina, wayang kulit dan tarian tradisional
  • Petting Zoo
  • Pelayaran harian
  • Pusat membeli-belah dengan harga jualan kilang

Memperkukuhkan Tawaran Pelancongan di Pulau Pinang Melalui Pembangunan Penang City Centre dan Pembangunan Semula Pulau Jerejak

Pulau Jerejak akan dibangunkan semula sebagai sebuah pusat peranginan mewah dan pelancongan perubatan, yang akan disokong oleh rangkaian pengangkutan bersepadu di antara pulau dan tanah semenanjung.

Pada masa yang sama, pembangunan Penang City Centre akan tertumpu ke arah menjadikannya sebagai pusat pameran dan persidangan dunia.

Membangunkan Destinasi Pelancongan Baru di Tanah Semenanjung Koridor Utara

Bagi memperlengkapkan daya tarikan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama dan memacu pembangunan sektor pelancongan di Wilayah ini dengan lebih pesat lagi, destinasi-destinasi pelancongan baru di tanah semenanjung di Wilayah ini akan dibangunkan. Matlamat utama pembangunan ini adalah untuk memastikan bahawa setiap destinasi baru ini nanti akan memiliki pelbagai tarikan yang akan menggamit para pelancong untuk tinggal antara 4 hingga 7 hari.

Destinasi yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:

  • Kuala Nerang untuk program cuti bersama keluarga dan aktiviti-aktiviti di tasik
  • Grik untuk pelancongan kembara
  • Lembah Bujang untuk pelancongan eko-sejarah
  • Sg. Batu Pahat untuk agro-pelancongan

Seperti juga Pulau Langkawi, pelaburan dari luar negara dan swasta akan diperoleh melalui beberapa insentif. Antara inisiatif-inisiatif yang dirangka adalah:

  • Kuala Nerang : Destinasi percutian keluarga
    • Meningkatkan jaringan perhubungan antara Lapangan Terbang Alor Setar ke Kuala Nerang
    • Meningkatkan jaringan perhubungan antara Kuala Nerang ke Tasik Pedu
    • Mewujudkan aktiviti-aktiviti tasik yang memenuhi standard pelancong luar negara yang tinggi. Antaranya seperti luncur air, memancing dan bersampan
    • Mengendalikan acara tempatan atau serantau seperti perlumbaan bot, pertunjukan atau kejohanan luncur air dan lain-lain
    • Menarik minat muzium atau pameran utama, khusus untuk keluarga dan kanak- kanak. Sebagai contoh, pameran “Ripley’s Believe it or Not”
    • Memperkenalkan beberapa aktiviti keluarga seperti belon udara panas dan taman tema air
    • Mewujudkan kem percutian untuk kanak-kanak
    • Mewujudkan pusat pembelajaran interaktif /eksplorasi seperti pusat angkasa dan pusat sains
    • Mewujudkan beberapa padang golf di kawasan sekitar

  • Grik: Destinasi percutian alam semula jadi / pengembaraan
    • Meningkatkan jaringan perhubungan dengan lebuhraya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan
    • Menarik pelabur utama untuk menubuhkan pusat pemeliharaan hidupan liar di kawasan Hutan DiRaja Belum sebagai kawasan pelancongan utama
    • Mewujudkan beberapa aktiviti pengembaraan hutan yang memenuhi standard pelancong asing seperti kem ikhtiar hidup, perlumbaan pacuan empat r oda, acara berbasikal lumpur dan paint balling di hutan
    • Mewujudkan beberapa akitiviti sungai
    • Mewujudkan beberapa tarikan kecil yang unik seperti lawatan kawasan pertanian dan merentas persiaran gantung (treetop walks) di Hutan DiRaja Belum

  • Lembah Bujang: Pelancongan eko-sejarah
    • Memperolehi sijil perakuan tapak dari Pusat Warisan Dunia UNESCO untuk tapak- tapak warisan arkeologi
    • Mengawalselia pembangunan fizikal di kawasan berkenaan dan menggalakkan rekaan senibina yang mempamerkan sejarah Malaysia
    • Menganjurkan jadual acara-acara penting sepanjang tahun, seperti lakonan semula peristiwa-peristiwa bersejarah, aktiviti mencari harta karun dan sebagainya
    • Mewujudkan pusat pameran sejarah terunggul bagi menempatkan rangkaian pameran sementara dari luar negara dan juga pameran dari simpanan Arkib Negara Malaysia
    • Mewujudkan muzium yang mempamerkan sejarah, budaya dan mitos-mitos dari Asia Tenggara dan Malaysia, yang akan turut menempatkan pameran bersifat interaktif yang disasarkan pada golongan kanak-kanak yang masih bersekolah
    • Mewujudkan akademi persembahan seni tradisional, yang tertumpu kepada alat muzik tradisional, tarian dan persembahan

  • Sg. Batu Pahat: Agro-pelancongan
    • Mewujudkan taman agro yang moden dan bersepadu dengan mengambil kira kemudahan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih
    • Menganjur dan mengawalselia kualiti program pertanian home-stay, di mana para pelancong berpeluang untuk tinggal bersama-sama petani untuk mengalami aktiviti dan gaya hidup pertanian.
    • Menganjurkan rombongan aktiviti-aktiviti pertanian di sekitar kawasan tersebut

Memastikan Kecukupan Golongan Profesional Perubatan dan Penjagaan Kesihatan

Bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan perubatan di Koridor Utara, Wilayah ini memerlukan penambahan golongan profesional perubatan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti secara berterusan.

Beberapa inisiatif yang sedang dirangka adalah seperti berikut:

  • Menilai pelesenan aliran laju (fast track licensing) dan kelenturan dalam memenuhi keperluan perkhidmatan kerajaan bagi pakar-pakar perubatan Malaysia yang pulang dari luar negara
  • Menarik 3 hingga 4 kolej jururawat untuk beroperasi di Koridor Utara melalui insentif- insentif khusus bagi memenuhi keperluan kejururawatan di hospital dan pusat perubatan
  • Membenarkan hospital dan pusat perubatan di Koridor Utara untuk membawa masuk pakar perubatan dari pusat perubatan terkemuka di luar negara untuk mengajar dan mengelola aktiviti R&D seperti latihan klinikal dan percubaan teknik perubatan baru. Untuk mempercepatkan proses membawa masuk pakar-pakar tersebut, Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia akan memberikan pra-kelayakan kepada institusi-institusi dan bidang-bidang pengkhususan yang akan dikenalpasti. Proses prosedur aliran laju (fast track) untuk permit kerja juga akan disediakan.

Meningkatkan Kualiti Rawatan Hospital dengan Mengalakkan Pusat Penjagaan Kesihatan untuk Memperolehi Akreditasi dari Pusat Suruhanjaya Bersama Dunia (JCI) di Amerika Syarikat

Akreditasi JCI diiktiraf di seluruh dunia sebagai simbol kualiti yang mencerminkan komitmen sesebuah organisasi untuk memenuhi beberapa piawaian prestasi. Untuk memperolehi dan mengekalkan ‘Gold Seal of ApprovalTM’ dari Suruhanjaya tersebut, sesebuah organisasi perlu menjalani kaji selidik yang dilaksanakan oleh kumpulan pakar selidik dari Suruhanjaya tersebut sekurang-kurangnya sekali dalam 3 tahun. Piawaian Antarabangsa JCI untuk Hospital merangkumi 197 piawaian utama yang perlu dipenuhi untuk memperolehi akreditasi, dan 368 piawaian lain yang membolehkan sesebuah organisasi mencapai tahap amalan terbaik. Piawaian tersebut menekankan aspek-aspek seperti keselamatan pesakit, kelayakan doktor, hak pesakit, kemudahan hospital serta dasar dan prosedur organisasi tersebut. Untuk memperolehi akreditasi, sesebuah hospital perlu memenuhi kebanyakan keperluan yang disebut, dan sekurang-kurangnya memenuhi sebahagian daripada keperluan yang lain1.

Pada waktu ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang hospital swasta yang memperolehi akreditasi JCI, walaupun ada sesetengah hospital yang telah memperolehi akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH). Untuk meletakkan kedudukan Koridor Utara sebagai pusat pelancongan perubatan yang terkemuka, semua hospital swasta di Wilayah ini harus memiliki cap kualiti yang diiktiraf dunia, supaya mendapat kepercayaan dan keyakinan para pesakit dari luar negara. Akreditasi juga memainkan peranan penting dalam aktiviti pemasaran, agar dapat memastikan hospital-hospital tersebut adalah setaraf dengan hospital-hospital lain di Singapura, Thailand dan India.

Memandangkan perlunya usaha serta perbelanjaan yang sewajarnya bagi memperolehi akreditasi tersebut, organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyebarkan pengetahuan dan kemahiran dalam piawaian dan amalan yang perlu diterimapakai oleh hospital-hospital tersebut. Selain itu, pakej yang mengandungi insentif fiskal juga akan diberikan. Ini termasuk penyediaan pinjaman mudah bagi meningkatkan kemudahan, serta potongan cukai untuk kos akreditasi dan perbelanjaan promosi pelancongan perubatan.

Peningkatan Skala Industri Kraftangan Desa

Koridor Utara mempunyai kepelbagaian budaya dan kaya dengan sejarah. Barangan kraftangan yang indah seperti batik, barangan perak, barangan tembaga, seramik dan ukiran kayu mempunyai potensi untuk menawan mata dunia dengan adanya pemasaran dan penjenamaan yang baik. Sebagai contoh, Thailand kini dikenali dengan sutera dan terkenal di seluruh dunia kerana kecantikan dan kualiti produk sutera melalui pelbagai jenis barangan Jim Thompson.

Walaupun kraftangan tradisional merupakan salah satu sumber pendapatan utama bagi penduduk kampung di kawasan pedalaman di Koridor Utara, industri kraftangan masih berada di takuk lama sebagai sebuah industri desa. Tidak banyak inovasi dan pemasaran yang telah dilakukan untuk memodenkan industri tersebut dan menarik perhatian dunia.

Untuk membangunkan industri kraftangan desa yang mampan, pengurusan berskala komersil adalah diperlukan, berserta dengan kerjasama penduduk setempat. Ini boleh dilaksanakan melalui pelaburan sektor swasta yang akan menggabungkan pengusaha kecil untuk menjadi pengeluar, peniaga dan pengeksport utama bagi barangan kraftangan tradisional. Syarikat-syarikat tersebut akan menyediakan program pembangunan produk, kepakaran teknikal dan rangkaian pasaran tempatan dan dunia; manakala produk kraftangan tersebut akan dihasilkan oleh ahli pertukangan yang bertempat di pusat pengeluaran atau koperasi di kawasan luar bandar Koridor Utara. Kampung-kampung yang menjadi pusat kraftangan akan turut memainkan peranan sebagai pusat pelancongan, di mana para pelancong akan dapat mempelajari sejarah dan proses pembuatan kraftangan tersebut serta membeli cenderamata.

Bagi menggalakkan pelaburan sektor swasta untuk mengkomersilkan sektor kraftangan desa di Koridor Utara, Dana Pembangunan Kraftangan (HDF) yang berjumlah RM50 juta setahun akan dibangunkan untuk menyediakan modal awalan bagi syarikat swasta mahupun individu yang berminat untuk membangunkan industri kraftangan tradisional. Syarikat-syarikat tersebut harus komited dalam usaha membangunkan komuniti desa dengan melibatkan tukang-tukang kraf setempat dalam proses pembuatan dan juga memberi latihan pertukangan kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman di mana tahap buta huruf dan pengangguran adalah tinggi. Ini juga adalah untuk memastikan agar komuniti yang kurang bernasib baik akan mendapat manfaat daripada pendapatan yang tetap dan mencukupi. Sebagai contoh, industri sutera di Thailand kini menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 20,000 keluarga. Di samping itu, syarikat-syarikat yang terlibat akan dinilai berdasarkan pengalaman dalam pemasaran dan pembinaan jenama, kreativiti dan rangkaian antarabangsa. Matlamat program ini adalah untuk membina 3 jenama antarabangsa, dengan tumpuan kepada pengkomersilan barangan kraftangan Koridor Utara yang unik – batik, barangan perak dan ukiran kayu.

Penggalakan Pertanian Setempat (In Situ)

Pusat-pusat peranginan di Koridor Utara, terutamanya di Pulau Langkawi, bergantung kepada hasil tani segar yang dibawa dari tanah semenanjung. Sungguhpun terdapat tanah pertanian yang mencukupi di pulau tersebut, produktiviti adalah rendah dan para petani tidak mengambil kesempatan daripada industri pelancongan tempatan yang sedia ada. Sebagai alternatif kepada menjaja dan menjual cenderamata kepada pelancong – di mana aktiviti tersebut bakal menjadi kurang penting dari segi peluang pekerjaan, memandangkan adanya penggabungan pusat membeli-belah dengan kedai-kedai yang terletak berhadapan pantai – penduduk setempat di Pulau Langkawi boleh dilatih untuk menghasilkan hasil tani untuk pusat-pusat peranginan tempatan. Ini termasuk pertanian buah-buahan segar, akuakultur, penternakan dan perladangan.

Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan memainkan peranan sebagai fasilitator, di mana ia akan berunding dengan pusat-pusat peranginan di pulau berkenaan dengan keperluan hasil tani segar mereka. Para petani akan dibekalkan dengan bahan yang diperlukan untuk penanaman dan pertanian, dan juga latihan dalam amalan-amalan agronomi yang baik. Organisasi pelaksanaan Koridor Utara akan mengelola sistem kutipan untuk hasil tani bagi pusat-pusat peranginan yang terlibat dalam skim berkenaan. Ia juga akan menyediakan perkhidmatan yang dikongsikan di antara para petani seperti pembajakan tanah.

  1. Pengurusan Hospital dan Penjagaan Kesihatan di Asia

Copyright © 2008 Koridor Utara