Strategi Untuk Mara Ke Hadapan
Pertumbuhan sektor perkhidmatan di Koridor Utara akan diperkembangkan melalui 4 teras strategik:
Pembangunan khusus untuk tempat pelancongan utama
Berbeza dengan pendekatan lama di mana banyak tempat-tempat menarik yang kecil dan terpencil dibina di kawasan Koridor Utara, usaha-usaha pembangunan untuk masa depan akan lebih tertumpu dan berfokus.
Pada peringkat awal, penekanan akan diberikan kepada usaha menaiktaraf, mengindah dan menjenamakan semula Pulau Langkawi dan Pulau Pinang, sementara usaha seterusnya akan merangkumi pemilihan 2 atau 3 lokasi di tanah semenanjung yang akan menjadi pusat di mana pelbagai daya tarikan yang lain akan dibina di sekitarnya.
Matlamatnya adalah untuk menyediakan kawasan-kawasan yang mampu menjadi daya penarik dalam lingkungan antara 15–30 minit perjalanan yang akan menggalakkan para pelancong untuk tinggal antara 4-7 hari. Inisiatif akan diambil bagi menarik minat pihak-pihak tertentu untuk terlibat dalam membina dan menyediakan tempat peranginan utama dan tempat-tempat menarik disekelilingnya. Pembangunan yang berjalan di kawasan sekelilingnya pula akan dipastikan mengikut peraturan yang ditetapkan demi memastikan bahawa tarikan yang dibina ini akan menarik minat pelancong global. Jika perlu, khazanah alam semulajadi akan dibaikpulih serta dipelihara dan jalan perhubungan ke lapangan terbang dan lebuhraya utama akan dipertingkatkan.
Dengan tujuan untuk melanjutkan tempoh tinggal serta meningkatkan perbelanjaan, sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah yang dibelanjakan oleh setiap pelancong daripada RM1,890 pada tahun 2005 kepada RM3,034 menjelang tahun 2012. Jumlah yang dibelanjakan oleh para pelancongan secara keseluruhan disasarkan akan meningkat dari RM9.0 bilion setahun pada tahun 2005 kepada RM21.8 bilion setahun pada tahun 2012 dan RM64.5 bilion setahun pada tahun 2020.
Peningkatan pulau-pulau di Koridor Utara agar menjadi destinasi utama bagi pelancongan perubatan
Pasaran untuk pelancongan perubatan mempunyai potensi yang tinggi untuk membangun dan dijangka akan menyumbang sebanyak RM2.2 bilion setiap tahun kepada pendapatan negara menjelang tahun 20101
Pulau Pinang sememangnya berada di hadapan dalam konteks industri pelancongan perubatan di Malaysia dan boleh dimajukan agar menjadi pusat pelancong perubatan untuk seluruh rantau Asia. Strateginya adalah untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi masyarakat luar negara yang menginginkan perkhidmatan pembedahah kosmetik dan elektif pada kadar yang berpatutan. Perkhidmatan pelancongan perubatan di Koridor Utara ini juga sewajarnya diperluaskan ke Pulau Langkawi memandangkan Pulau Pinang mempunyai tanah yang amat terhad bagi membina kemudahan-kemudahan baru bagi tujuan ini.
Pembedahan terhadap pelancong perubatan ini akan dijalankan oleh pakar-pakar bedah yang terlatih dengan menggunakan kemudahan perubatan moden dan canggih serta menjalani proses pemulihan selepas pembedahan dalam suasana tenang dan aman di pusat-pusat peranginan dan spa kesihatan bertaraf dunia.
Walaupun Kerajaan Pulau Pinang sedang rancak mempromosikan kemudahan perubatan swastanya bagi pembedahan kosmetik dan rawatan perubatan lain, ia perlu berbeza dan terkehadapan berbanding dengan pesaing-pesaing lain di rantau ini seperti Singapura dan Thailand. Pulau Pinang perlu membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang-bidang kepakaran tertentu seperti rawatan jantung dan pembedahan kosmetik. Di Pulau Pinang, sebuah laporan menyatakan bahawa kemudahan yang paling tinggi permintaannya di kalangan pesakit luar negara adalah rawatan kardiologi, pembedahan kardiotoraksik, pembedahan am, ortopedik, mata dan perkhidmatan perbidanan dan sakit puan, juga pemeriksaan perubatan am2. Di antara tahun 2001-2003, pembedahan kosmetik menyumbang sebanyak 23% daripada rawatan perubatan yang dipinta oleh pesakit luar negara, menjadikan Pulau Pinang satu destinasi popular untuk tujuan tersebut3.
Pulau Pinang juga harus mensasarkan pelancong perubatan dari negara-negara maju kerana mereka mempunyai keupayaan berberlanja yang tinggi. Buat masa ini, kebanyakan pesakit luar negara di Malaysia datang dari negara-negara membangun. Sebagai contoh, pada tahun 2003, 72% daripada pesakit luar negara berasal dari Indonesia. Ini berbeza berbanding Thailand yang mensasarkan para pesakit luar negaranya dari negara-negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah. Pada tahun 2003, Thailand berjaya menarik 800,000 pesakit luar negara, dengan jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan melebihi USD465.5 juta. Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding dengan anggaran untuk Malaysia, iaitu sebanyak USD39.8 juta4.
Pulau Langkawi boleh memainkan peranan sebagai pelangkap kepada industri pelancongan perbuatan di Pulau Pinang dengan menawarkan rawatan perubatan tradisional dan spa sejajar dengan kesedaran masyarakat di negara membangun terhadap kepentingan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat. Pasaran global untuk rawatan tradisional dianggarkan berjumlah USD60 bilion5. Semenjak 5 tahun kebelakangan ini, 80% daripada penduduk di Asia Tenggara telah dikenalpasti menggunakan rawatan tradisional secara aktif. Selain itu, perubatan alternatif bagi tujuan pemulihan juga, kini menjadi lebih popular. Ini terbukti apabila 75% daripada penduduk Perancis pernah menggunakan perubatan tradisional sekurang-kurangnya sekali dan 77% daripada klinik-klinik di Jerman menawarkan perubatan tradisional6.
Strategi untuk memberikan tumpuan kepada pelancongan perubatan di Koridor Utara adalah dengan matlamat untuk memperoleh pendapatan berjumlah lebih daripada RM350 juta setahun untuk menjelang tahun 2012. Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mantap juga akan menyumbang kepada pengukuhan sektor perkhidmatan serta membuka lebih peluang pekerjaan.
Meningkatkan penglibatan penduduk setempat dalam bidang pelancongan
Kesan penggandaan daripada sektor pelancongan di Koridor Utara akan meningkat dengan pesat apabila suatu mekanisma yang khusus diperkenalkan bagi membolehkan penduduk setempat mengambil bahagian dan sekaligus memperoleh manfaat daripada aktiviti-aktiviti tersebut. Pusat kraftangan setempat di Wilayah ini perlu disusun dan dipertingkatkan sebagaimana pelaksanaan program-program pertanian yang telah dihuraikan sebelum ini. Selain itu, untuk destinasi pelancongan utama seperti Pulau Langkawi, program-program akan diperkenalkan bagi menggalakan pertainan setempat (in situ) dan hasilnya akan dibekalkan untuk hotel dan restoran di sekitarnya. Dengan cara ini, penduduk setempat bukan sahaja akan memperolehi pendapatan daripada penjualan hasil pertanian ini tetapi juga memperoleh keuntungan daripada lawatan para pelancong ke ladang and kawasan pertanian. Pada masa yang sama, kebergantungan kawasan pulau ini kepada bekalan makanan dari semenanjung juga dapat dikurangkan.
Memantapkan pelabuhan dan sektor logistik di Koridor Utara
Perkhidmatan logistik merupakan salah satu sektor yang diketengahkan dalam Pelan Utama Perindustrian Ketiga. Bagi Koridor Utara, strategi yang digunapakai adalah untuk memanfaatkan lokasi dan jaringan perhubungannya yang strategik. Kedudukannya yang hampir dengan kawasan pedalaman Sumatera dan Thailand memberikan kelebihan kepada Wilayah ini untuk memperoleh bahan mentah serta barangan siap yang akan diproses dan/atau dieksport melalui pelabuhan antarabangsa di Wilayah ini.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan jumlah kargo dari 770,000 TEU7 kepada 1 juta TEU menjelang tahun 2012.
- Kementerian Kesihatan
- SERI, 2004
- Sun Weekend, 31 Julai – 1 Ogos 2004
- New Straits Times, 19 Mac 2005
- Dasar Pelancongan Negara (2004-2010)
- Dasar Pelancongan Negara (2004-2010)
- PPSB