Northern Corridor Economic Region

Pelancongan

Tourism

Sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan penyumbang kedua terbesar dari segi pertukaran wang asing selepas sektor pembuatan, dengan sumbangan sebanyak 5.5% daripada KDNK bagi tahun 20051. Pelancongan merupakan sektor yang diberikan penekanan di Malaysia dengan kemasukan pelancong ke Malaysia dianggarkan seramai 20.1 juta orang pada penghujung tahun 2007 ini dan dijangkakan meningkat kepada 24.6 juta orang pada tahun 2010. Jumlah ini dijangka akan menjana pendapatan sebanyak RM59.4 bilion serta menawarkan 520,700 peluang pekerjaan.

Penunjuk Pelancongan, 2000-2010
Penunjuk 2000 2005 2010 2015* 2020* 2025*
Jumlah Pelancong (juta) 10.2 16.4 24.6 32.9 44.1 59.0
Negara Asal (%)
ASEAN 70.4 76.8 65.0 - - -
China 4.2 3.8 6.1 - - -
Jepun 4.5 1.9 2.2 - - -
Australia 2.3 1.5 2.7 - - -
United Kingdom 2.3 1.5 2.8 - - -
Taiwan 2.1 1.3 2.7 - - -
India 1.3 1.2 1.8 - - -
Asia Barat 0.5 1.0 2.7 - - -
Lain-lain negara 12.4 11.0 14.0 - - -
 
Jumlah Pendapatan (RM bilion) 17.3 31.0 59.4 79.5 106.4 142.4
Kapita Perbelanjaan (RM) 1,696 1,890 2,417 3,234 4,328 5,792
Purata Tempoh Tinggal (malam) 5.8 7.2 8.7 - - -
Peluang Pekerjaan 390,600 451,000 520,700 598,805 655,626 791,920

Sumber: Rancangan Malaysia Ke-9, 2006
* Mengikut kiraan Sime Darby Berhad

Pelancongan merupakan satu sektor penting bagi Koridor Utara. Ia merupakan penyumbang utama kepada ekonomi di Wilayah ini menjana pendapatan sebanyak RM9.1 bilion pendapatan pada tahun 2005. Ia juga merupakan antara sektor yang menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan dengan jumlah pekerja seramai 132,000 orang pada tahun 2005.

Ketibaan Pelancong dan Pendapatan dalam Koridor Utara
Ketibaan Pelancong 2005 Anggaran 2008 – 2012*
Pulau Pinang 3.0 juta 17.4 juta (+5% TKT)
Langkawi 1.8 juta 10.4 juta (+5% TKT)
Perbelanjaan per kapita RM1,890 RM2,000
Anggaran pendapatan pelancongan RM9.1 billion RM55.6 billion
Anggaran populasi yang bekerja / tahun 132,000 150,000

Sumber: Anggaran dari pelbagai sumber: www.penang.gov.my, www.lada.gov.my, www.btimes.com.my dan Rancangan Malaysia Ke-9
* Mengikut kiraan Sime Darby Berhad

Koridor Utara dianugerahkan dengan pelbagai tarikan semula jadi, berbilang budaya dan warisan serta memiliki infrastruktur dan perkhidmatan yang baik, sesuai untuk dimanfaatkan bagi memantapkan sektor pelancongan.

Tarikan Semula Jadi

Koridor Utara menawarkan pelbagai tarikan semula jadi seperti pantai, kolam air panas, lokasi-lokasi menarik dan kawasan eko-pelancongan yang terdapat di keempat-empat negeri di Wilayah ini. Pantai yang terdapat di pulau-pulau di kepulauan Wilayah ini yang begitu terkenal dengan pasirnya yang lembut memutih serta panorama indah ketika matahari terbenam, merupakan faktor utama yang menarik pelancong datang berkunjung. Sukan dan aktiviti air seperti luncur air, berkayak dan bersampan serta pelayaran ke pantai-pantai terpencil yang turut disediakan juga memainkan peranan penting dalam menarik para pelancong tempatan mahupun luar negara.

Budaya dan Warisan

Hasil integrasi kaum dan warisan yang berlangsung semenjak ratusan tahun dahulu, Koridor Utara telah dianugerahkan dengan pelbagai tinggalan warisan dan budaya. Meskipun kaum-kaum tersebut telah mengekalkan struktur tradisi dan komuniti masing-masing, kepelbagaian kaum yang ada telah turut mengadun dan menghasilkan sebuah warisan budaya Malaysia yang unik dan kontemporari. Hasilnya, Wilayah ini begitu kaya dengan tinggalan senibina bersejarah dan kraftangan yang merupakan antara faktor penting dalam menggamit pelancong ke sini.

Industri kraftangan khasnya adalah sebuah industri yang telah wujud sejak zaman-berzaman dan berkembang dengan pesatnya di kawasan-kawasan luar bandar di Wilayah ini. Ia telah banyak membuka peluang-peluang pekerjaan dan menjadi sumber pendapatan yang penting kepada penduduk tempatan.

Kemudahan Pengangkutan

Pintu masuk antarabangsa Koridor Utara ini melalui perjalanan udara menggunakan salah satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa yang terdapat di Wilayah ini iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Kedua-dua lapangan terbang tersebut berupaya mengendalikan 5 juta dan 2.5 juta penumpang setahun dan mempunyai jaringan perhubungan yang baik dengan bandar-bandar utama di Asia Tenggara. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga merupakan hab untuk Firefly, sebuah syarikat penerbangan murah di bawah naungan Penerbangan Malaysia (MAS) yang akan mempertingkatkan jaringan perhubungan ke Koridor Utara.

Pada bulan Mac 2007, Kerajaan Malaysia telah meluluskan pelaksanaan projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar, begitu juga dengan Lebuhraya Pantai Barat yang akan menghubungkan Taiping di Perak ke Banting di Selangor. Projek-projek ini dijangka akan meningkatkan jaringan perhubungan darat antara Koridor Utara ke seluruh negara.

Laluan Pelancongan ke Koridor Utama
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Langkawi
Lapangan Terbang Domestik Alor Setar, Tekah
Pelabuhan Laut Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Kedah, Kuala Perlis
Landasan Keretapi Johor Baru ke Padang Besar
Jalan Raya Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Timur-Barat (Grik-Jeli), Jalan Pantai, Lebuh Raya Persekutuan dan Negeri

Infrastruktur dan Perkhidmatan Pelancongan

Koridor Utara menyediakan pelbagai infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan kepada orang ramai seperti penginapan, makanan dan kemudahan pusat membeli-belah pada kadar berpatutan.

Wilayah ini sememangnya terkenal dengan tempat peranginan dan spa bertaraf dunia yang terletak di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi khas untuk pelancong-pelancong yang berbelanja mewah. Antaranya ialah Andaman, Datai dan Four Seasons Resort di Pulau Langkawi, dan Shangri-La Rasa Sayang serta Mutiara Beach Resort di Pulau Pinang. Selain itu, terdapat juga pelbagai pilihan pusat-pusat spa mewah dan terkemuka yang menyediakan rawatan tradisional dan terapi alternatif yang semakin mendapat tempat di kalangan pelancong- pelancong Barat.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan juga merupakan satu lagi aspek yang boleh diberikan penekanan oleh Koridor Utara, terutamanya dengan adanya hospital-hospital swasta yang moden dan canggih di Pulau Pinang. Pulau Pinang kini mempunyai 7 hospital swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan bagi tujuan menggalakkan ‘pelancongan kesihatan’2. Kemudahan rawatan yang disediakan di hospital-hospital ini juga diberikan oleh pakar profesional dan terlatih. Sembilan puluh peratus daripada doktor-doktor ini memperoleh latihan pasca ijazah mereka di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.

  1. Sumber: TheEdge, Mac 2007
  2. Persatuan Hospital Swasta di Malaysia

Copyright © 2008 Koridor Utara