NCER tumpu ekonomi baharu capai sasaran KDNK

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) perlu mencatatkan pertumbuhan lima peratus setahun bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM300 bilion menjelang 2025.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata bagi menyahut transformasi landskap ekonomi negara, pihaknya akan memberi fokus kepada aktiviti ekonomi baharu yang berasaskan pengetahuan dan inovasi, serta meningkatkan usaha menggalakkan pelaburan dalam industri teknologi tinggi.

“Untuk merealisasikan agenda pembangunan yang mantap, NCER akan menjurus kepada ekonomi baharu termasuk ekonomi digital, aeroangkasa, ekonomi hijau, barang pengguna laris (FMCG), peranti perubatan, getah, pendidikan, perlombongan mampan dan petrokimia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Ke-22 NCIA yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, Pelan Pelaksanaan Strategik NCER 2021-2025 yang bertemakan “Kemakmuran Bersama Melalui Pembangunan Wilayah Seimbang” turut dibentangkan oleh NCIA.

Pelan strategik ini memperincikan agenda pembangunan dalam sektor utama bagi pertumbuhan ekonomi di keempat-empat negeri NCER iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Sebagai usaha ke arah ekonomi RM62 bilion menjelang 2025, Kedah akan mempergiatkan aktiviti ekonomi baharu seperti aeroangkasa, peranti perubatan, produk hiliran getah serta menumpukan kepada ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan.

Pembangunan Kedah Aerotropolis di Kulim yang meliputi kawasan lapangan terbang baharu bersebelahan dengan kawasan Perindustrian Sidam akan memfokuskan industri aeroangkasa, logistik, kargo dan pembuatan avionik.

Taman Perindustrian Petrokimia Gurun akan ditubuhkan bagi mempergiatkan industri hiliran Petrokimia sementara infrastruktur sedia ada dan ekosistem sektor logistik akan ditambah baik melalui pelaksanaan Lebuhraya Koridor Utara yang menjangkau dari Sungai Petani ke Selama/ Serdang dan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, ekonomi Pulau Pinang diunjur mencapai RM128 bilion menjelang 2025 dengan berpaksikan ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan.

Aktiviti ekonomi baharu seperti barang pengguna laris akan diperkukuhkan, di samping sektor sedia ada seperti elektrik & elektronik, mesin & peralatan serta peranti perubatan.

Bagi menambah baik infrastruktur sedia ada dan ekosistem sektor logistik, fokus akan dijurus pada perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Perak pula dijangka mencapai KDNK RM103 bilion menjelang 2025 dengan tumpuan khusus pada perkhidmatan perniagaan global (GBS) selain pembangunan Taman Teknologi Perak akan menjadi pemangkin kepada industri digital dan berasaskan pengetahuan.

Di samping itu, Tapah Education City akan memacu program dan institusi TVET. Hab Automotif Tanjung Malim juga akan dimajukan bagi menampung pembangunan industri automotif di Perak, manakala peluasan Pelabuhan Lumut akan dilaksanakan untuk menjadikan Lumut sebagai hab industri maritim.

Projek strategik berimpak tinggi, Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Lembah Agro Chuping disusun rapi supaya menerajui pertumbuhan ekonomi negeri Perlis menjadi RM7 bilion menjelang 2025.

Tumpuan pembangunan CVIA akan menjurus pada ekonomi hijau iaitu tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau serta industri halal.

Lembah Agro Chuping akan meneruskan inisiatif dalam superfruits, tanaman kontan dan ladang tenusu manakala bagi menambah baik infrastruktur sedia ada dan ekosistem sektor logistik, fokus akan dijurus kepada projek Perlis Inland Port.

Sumber: Berita Harian