02 Aug 2021 . News
150 wanita miskin terima kad KIDR di DUN Kampung Gajah

KAMPUNG GAJAH, 30 Julai – Kira-kira 150 orang, termasuk 25 dari kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah menerima kad tanpa tunai Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) hari ini.

Mereka terdiri daripada ibu tunggal dan wanita miskin yang termasuk di dalam senarai eKASIH dan eDAMAK.

Majlis penyampaian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di Perkampungan Orang Asli Chenderong Kelubi, dekat sini.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan bakul makanan PKP 3.0 Fasa 2 oleh Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Perak Tengah / Hilir Perak.

Pada Rabu, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad melancarkan program KIDR mulai untuk membantu golongan rentan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Program itu adalah kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan negeri Perak.

Seramai 5,097 wanita serta 20,000 tanggungan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar bakal menerima bantuan ini bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dari jumlah tersebut, 1,104 penerima terdiri dari wanita dari komuniti Orang Asli.

bantuan Program KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas dan rawatan kesihatan di klinik swasta.

Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan selama lima (5) bulan untuk pembelian enam belas (16) jenis barangan keperluan asas.

Bagi bantuan rawatan kesihatan, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga untuk tahun ini.

Penyerahan Kad KIDR kepada penerima telah bermula sejak 19 Julai 2021 di seluruh 12 daerah di negeri Perak, dengan kerjasama semua Pejabat Daerah dan Tanah melalui penghulu-penghulu mukim manakala penyerahan kad tanpa tunai KIDR kepada penerima Orang Asli akan dilaksanakan oleh pihak JAKOA.

Sebanyak RM7.4 juta telah diperuntukkan bagi Fasa 1 sebagai manfaat kepada penerima program berkenaan.

 

Source : Suara Perak – 30 July 2021 (Friday)

Source link : https://www.suaraperak.my/150-wanita-miskin-terima-kad-kidr-di-dun-kampung-gajah/