02 Jul 2020 . News
4,547 layak terima bantuan KIDA

BANDAR BAHARU: Seramai 4,547 wanita, ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap layak menerima bantuan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) fasa dua yang mula diagih hari ini.

Menteri Besar, Muhamad Sanusi Md Nor, berkata di bawah bantuan itu penerima boleh membeli barangan keperluan asas berjumlah RM250 di kedai terpilih dan mendapat rawatan kesihatan di klinik bernilai RM500.

Jelasnya, penerima yang terdiri dari kalangan golongan berpendapatan rendah terutama keluarga miskin serta miskin tegar akan menerima bantuan berkenaan selama enam bulan yang tamat pada Disember 2020.

“Sebelum ini bagi KIDA fasa satu, kita sudah membantu 4,281 penerima membabitkan perbelanjaan RM12.15 juta setakat Mac lalu, yang turut memberi kesan kepada ekonomi setempat.

“Bagi fasa kedua ini, walaupun negara masih mengalami impak wabak COVID-19, kerajaan tetap mengiktiraf peranan golongan wanita dan ibu sebagai tonggak keluarga dan terus membantu mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Program Kad KIDA yang bermula pada Mei tahun lalu, adalah kerjasama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bertujuan membantu golongan wanita berpendapatan rendah.

Sementara itu, Muhamad Sanusi mengumumkan proses audit forensik akan dilakukan bagi menyiasat masalah yang dihadapi dalam pembinaan Masjid Al-Fateh di sini, yang mengalami kerosakan struktur agak serius.

“Masjid utama Daerah Bandar Baharu ini didapati mengalami masalah sejak 2015 iaitu setahun selepas ia siap dibina dan masalah mula dikesan pada bahagian menara bangunan.

“Bagaimanapun, kita mendapati terdapat lagi masalah lain pada bahagian struktur yang memerlukan pembaikan selepas proses audit forensik selesai dilakukan,” katanya.

Menyentuh mengenai pembinaan Jambatan Taman Serdang yang runtuh akibat hakisan pada 2018, beliau berkata ia dijangka dapat disiapkan Jun tahun hadapan.

Katanya, pembinaan jambatan itu tergendala hampir tiga bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia sudah kembali bersambung ketika ini.

 

Sumber: BERITA HARIAN