05 Aug 2021 . News
Bantu pelajar B40

TANJUNG MALIM: Seramai  1,400 pelajar keluarga B40 daripada 22 sekolah di tujuh daerah di Perak mendapat manfaat daripada program penyerahan peranti tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak.

Program itu untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sekolah terbabit dalam menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

Terbaharu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020), di sini  menerima 73 unit peranti tablet menerusi program berkenaan.

Penyerahan peranti tablet kepada ibu bapa pelajar disempurnakan oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin yang juga Ketua Projek bagi Program empowerNCER-Akademik@Perak.

UPSI telah dilantik oleh NCIA sebagai Pembekal Perkhidmatan bagi Program empowerNCER-Akademik@Perak kepada semua 22 sekolah terbabit. Turut menerima kemudahan itu 110 guru dari sekolah berkenaan.

Berucap pada majlis itu, Dr Norkhalid berkata, program tuisyen secara dalam talian telah dilaksanakan setiap hari di semua sekolah terlibat mulai 5 Julai  lalu oleh Guru Bitara UPSI.

Katanya, setiap hari Sabtu mulai jam 9 malam pula diadakan sidang langsung melalui saluran YouTube Live oleh Ikon Alumni UPSI iaitu penulis modul bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

“Aktiviti ini akan dijalankan secara berterusan sehingga pelajar terbabit selesai menduduki SPM pada bulan Mac 2022 nanti,” katanya.

Sesi penyampaian tablet secara ringkas yang diadakan baru-baru ini turut disaksikan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBB2020, Dr Ghazali Din.

Program yang mendapat sokongan penuh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia ini berjaya membantu pelajar daripada keluarga B40 merai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu.

Sementara itu, Pengetua SMKBB2020, Azshar Ramli berkata, penyerahan peranti tablet kepada pelajar sekolah berkenaan tepat pada masanya kerana ramai pelajar dari latar belakang serba kekurangan dan tidak mampu membeli kemudahan itu untuk anak mereka.

Katanya, pencapaian akademik pelajar sekolah itu menunjukkan peningkatan, namun dengan inisiatif NCIA dan UPSI diyakini akan melonjakkan lagi prestasi khususnya calon SPM 2021.

Beliau berkata, pihak sekolah menghargai penyerahan tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar sekolah berkenaan.

“Ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar serba kekurangan dari aspek kemudahan komputer untuk kegunaan PdPR.

“Justeru, pemberian tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak ini sangat kami hargai untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik,” katanya yang berterima kasih atas keprihatinan pihak NCIA dan UPSI untuk membantu pelajar yang memerlukan kemudahan peranti tablet.

Fakta

Program empowerNCER-Akademik@Perak yang memasuki Fasa Kedua direka secara komprehensif untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM dengan menekankan komponen kecemerlangan akademik, kecekapan kemahiran dan pengembangan peribadi pelajar.

Seramai 450 pelajar SPM telah menyertai Program empowerNCER-Akademik@Perak Fasa Pertama yang menyaksikan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah, Batang Padang, Cheah Yong Ning berjaya memperoleh 10A manakala Alieya Ashikin A/P Haszrul Zainal, pelajar dari komuniti Orang Asli dari sekolah yang sama, berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan SPM 2020.

 

 

Source : SABAHTAIM – 5 August 2021 (Thursday)

Source link : https://www.sabahtaim.com/2021/08/bantu-pelajar-b40.html