GEORGE TOWN, 7 Nov — Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memuji usaha kerajaan menerusi Belanjawan 2021 yang memberi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat selain penekanan bagi memulihkan ekonomi negara.
Belanjawan tersebut juga telah menggariskan keperluan sewajarnya bagi merancakkan ekonomi negara ke arah pertumbuhan mampan selain mewujudkan pekerjaan dan peluang keusahawanan menerusi program peningkatan kemahiran untuk rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
NCIA juga berkata menjelang 2021, lebih 36,000 peserta akan mendapat manfaat menerusi Program Modal Insan (HCP) kendaliannya.
“Kami melihat insentif khas RM1 bilion bagi industri teknologi dengan nilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan dalam industri aeroangkasa serta kluster elektronik di Batu Kawan dan Taman Perindustrian Kulim sebagai langkah tepat untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Pada masa sama, ia turut mempertingkat ekosistem elektrikal dan elektronik (E&E) di rantau ini.
“Ini sejajar dengan matlamat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk menjadi hab teknologi serantau dan berkelas dunia selain memperkukuh Inisiatif Kampus Tunggal antara Pulau Pinang, Kulim dan Ipoh sebagai ekosistem teknologi holistik,” kata Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.
NCIA turut menyambut baik Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 juta selain memperkenalkan lebih banyak sokongan percukaian bagi menggalakkan lebih banyak syarikat berteraskan teknologi tinggi dan inovatif.
Insentif sedemikian akan membolehkan Malaysia dan wilayah utama untuk kekal berdaya saing serta mengekalkan ekosistem rantaian bekalan dan penyelidikan.
“Peruntukan khas sebanyak RM780 juta untuk lima koridor wilayah ekonomi bagi pembangunan projek strategik ekonomi juga memaparkan komitmen Kerajaan Persekutuan meneruskan agenda pembangunan wilayah dan mengurangkan ketidakseimbangannya.
“Pada akhirnya, zon pembangunan khas NCER di Yan serta Baling dapat menjadi pemangkin pembangunan di kawasan kurang maju untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat,” katanya.
Sumber : Bernama – 7 November 2020 (Sabtu)