12 Oct 2019 . News
Belanjawan untuk kemakmuran rakyat – NCIA

GEORGE TOWN,12 Okt — Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam sebagi belanjawan yang dinamik dan inklusif serta memberi keutamaan kepada kemakmuran rakyat dan pertumbuhan yang mampan.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan belanjawan itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi projek strategik berimpak tinggi Chuping Valley Industrial Area (CVIA).

“CVIA bakal mentransformasi Perlis dan merevolusi ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) serta dijangka menarik lebih banyak pelaburan, malah dapat mewujudkan pekerjaan bagi penduduk tempatan sekali gus mengurangkan migrasi keluar penduduk dari negeri itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya NCIA akan memulakan pelaksanaan infrastruktur CVIA pada November ini, dan dijangka mula menerima pelabur seawal Jun 2020.

Menurutnya projek itu dijangka menarik pelaburan sebanyak RM4.5 bilion dan mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan apabila siap sepenuhnya. Sementara itu, Jebasingam berkata prestasi industri elektrik & elektronik (E&E) yang mencatatkan jumlah pasaran eksport paling tinggi dan menjadi penyumbang utama ekonomi negara, juga mendapat sokongan dan galakkan dalam Belanjawan 2020.

Katanya pembangunan langsung industri E&E di NCER mencatatkan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan langsung industri E&E di Malaysia yang berjumlah RM30.04 bilion, dengan Pulau Pinang sebagai hab E&E di NCER telah menyumbang RM9.93 bilion, sepanjang 2016 sehingga 2018.

“Dengan pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 tahun kepada syarikat elektrik dan elektronik yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan serta Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada untuk terus kekal melabur, disambut baik supaya NCER menjadi hab industri E&E di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata NCIA turut menghargai peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) yang berpotensi menjadi jaguh serantau serta RM50 juta untuk menggalakkan PKS menyertai lebih banyak aktiviti promosi.

Menurutnya peruntukan ini selaras dengan pembangunan modal insan di NCER bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Peruntukkan ini adalah kelangsungan kepada rangka kerja strategik NCER dalam mewujudkan pekerjaan, peluang keusahawanan dan meningkatkan pelaburan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis,” katanya.

Sumber : BERNAMA