14 Jan 2021 . News
COVID-19: Majlis Tindakan Ekonomi rangka tindakan sebaik mungkin

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) berusaha memberikan perhatian dan tindakan sebaik mungkin terhadap permasalahan dan tekanan yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat berikutan pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutifnya Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang terbabit secara langsung dengan kepimpinan negara dalam menangani krisis ekonomi berkata tugasan itu dilaksanakan tanpa henti sejak MTE ditubuhkan pada 11 Mac 2020.

“Mesyuarat dan perbincangan meliputi semua sektor dengan libat urus wakil setiap sektor yang sangat intensif.

“Isu dibincang dan diperhalusi secara terperinci dan mendalam. Isu-isu berkaitan diangkat terus untuk perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azlan berkata sejak ditubuhkan, MTE bermesyuarat hampir setiap minggu dan dipengerusikan sendiri oleh Muhyiddin.

“Sekretariat MTE bersama dengan kementerian dan agensi serta wakil sektor/industri akan mendahului perbincangan dalam menyediakan kertas untuk diangkat ke MTE.

“Ketua setiausaha, ketua pengarah, timbalan ketua setiausaha, timbalan ketua pengarah dan pegawai-pegawai yang berkaitan semua terlibat secara langsung,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed hadir mesyuarat MTE bagi memastikan permasalahan sektor di bawah kementerian masing-masing ditangani sebaik mungkin dan pelaksanaan keputusan dipantau dengan rapi.

Noor Azlan berkata setiap minggu beliau dan Pasukan Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Kementerian Kewangan melapor status dan isu yang berkaitan kepada mesyuarat MTE.

Sementara itu, katanya, krisis yang dihadapi sekarang ‘belum pernah’ dialami oleh semua kita pasca-Perang Dunia Kedua.

“Cabarannya ‘amat luar biasa’. Sangat jauh berbeza dengan krisis ekonomi 86/87, 97/98, dan 2008/09, khususnya, ianya berpunca dari pandemik COVID-19 yang mengancam nyawa.

“Keseimbangan yang terbaik antara ‘kesihatan-ekonomi’ cuba dicapai sebaik mungkin, namun ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan,” katanya.

 

 

Sumber: Berita Harian Online – 13 Januari 2021 (Rabu)