30 Apr 2021 . News
EMPOWERNCER SEDIA BANTU BERI LATIHAN DAN BIMBINGAN KEUSAHAWANAN.
EMPOWERNCER SEDIA BANTU BERI LATIHAN DAN BIMBINGAN KEUSAHAWANAN.
KHAMIS (28.04.2021)
JITRA – Satu program amal anjuran pihak EmpowerNCER telah diadakan melibatkan penyertaan seramai 15 peserta dari Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) dan 8 peserta dari Program JomNiaga@NCER dari daerah Kubang Pasu bagi membantu memberi latihan, bimbingan dan keusahawanan selain diberi motivasi dalam meningkatkan ekonomi pendapatan sara hidup seharian.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad berkata program EmpowerNCER ini bertujuan memberi latihan kemahiran asas dan keusahawanan dimana peserta program ini akan mempelajari kemahiran baru dan membolehkan mereka bekerja mengikut apa yang dipelajari dan menjadi seorang usahawan kelak.
“Ini menjadi salah satu inisiatif modal insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), sebuah agensi dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM) yang secara langsung mampu membantu mengeluarkan golongan sasaran ini daripada dibelenggu kemiskinan dan mewujudkan ekosistem keusahawanan di kawasan setempat.
“Selain itu, JomNiaga@NCER pula merupakan inisiatif yang disarankan oleh NCIA di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi setiap daerah di negeri Kedah yang bertujuan membantu golongan yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.
“Peserta yg terpilih akan menerima latihan, bimbingan dan kit permulaan perniagaan “starter kit” bagi memulakan perniagaan seperti mesin jahit, peralatan gunting rambut, dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Dapur Amal Ramadhan EmpowerNCER Kubang Pasu di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pejabat NCIA Cawangan Kedah dan Perlis, Fauzan Ismail; Pegawai Lapangan NCIA Kubang Pasu, Siti Munirah Abd Manaf dan Presiden PKSM, Suraindran Kandasamy.
Dalam pada itu, Halimaton turut menyarankan kepada pihak Syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memohon menyertai program sebegini kerana terdapat inisiatif pembayaran gaji bagi pekerja baru selama 6 bulan sekiranya permohonan diluluskan.
“Pihak Kerajaan Negeri Kedah menyeru masyarakat khususnya penerima kad KIDA, golongan wanita, ibu tunggal, golongan belia, siswazah yang menganggur serta golongan yang kehilangan pekerjaan untuk mengikuti program yang disediakan oleh EmpowerNCER ini.
“Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan ini mula dilaksanakan oleh NCIA melibatkan tujuh buah daerah di Negeri Kedah iaitu Kuala Muda, Yan, Pendang, Sik, Baling, Kota Setar dan Langkawi dengan penglibatan seramai 200 orang bagi setiap daerah sejak tahun 2019 lalu,” ujarnya.
Source : Bernama – 28 April 2021 (Wednesday)
Source Link: https://www.facebook.com/302058676642463/posts/1801081900073459/