GEORGETOWN: Program JomKerja@NCER oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Pulau Pinang mencatat penyertaan 70 perniagaan termasuk 3,357 peserta dan menawarkan 40,713 peluang pekerjaan sejak dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Pihak berkuasa pembangunan wilayah itu berkata program itu diperuntukkan sejumlah RM14 juta bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang diberhentikan kerja dan pencari kerja lain yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“NCIA menjangkakan program ini akan melebihi sasaran 2021 dengan 14 syarikat dan 225 peserta sudah pun mendaftar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.4 juta yang akan menyaksikan penawaran 2,000 pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, satu lagi program modal insan NCIA iaitu JomNiaga@NCER di Pulau Pinang, telah melebihi sasarannya sebanyak 11 peratus dengan jumlah peserta seramai 1,114 orang sejak dilancarkan pada Ogos 2020.

Program berkenaan direka untuk merangsang pemulihan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor tidak formal.

“Bagi memenuhi keperluan industri, NCIA telah merangka sasaran penciptaan pekerjaan sebanyak 14,487 bagi kawasan ini pada tahun ini dengan 4,742 adalah untuk Pulau Pinang yang akan disumbangkan oleh pelbagai projek berimpak tinggi, pelaburan swasta strategik termasuk program modal insan,” katanya.

Pelancongan dan segmen tertentu dalam sektor pembuatan telah terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tetapi pembuatan bernilai tinggi, elektrik dan elektronik (E&E), jentera serta peralatan (ME), ekonomi digital, agribio dan sektor logistik terus mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh pasca pandemik.

NCIA berkata setakat suku pertama 2021, sebanyak 2,143 pekerjaan telah ditawarkan di Pulau Pinang iaitu 1,994 dalam bidang pembuatan, 49 dalam bidang pertanian dan 100 dalam industri perkhidmatan daripada 5,434 pekerjaan yang diwujudkan di wilayah utara.

NCIA dan Pulau Pinang sedang dalam perbincangan dengan beberapa pelabur bernilai tinggi, jika berjaya, akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM2 bilion dan mewujudkan lebih daripada 5,500 pekerjaan baharu di Pulau Pinang.

“Projek berimpak tinggi utama NCIA di rantau ini seperti taman perindustrian bertema sedang menjana kesan limpahan yang positif terhadap pembangunan ekosistem kritikal bagi industri,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) hari ini berkata pencari kerja yang mendaftar dengan JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER akan diselaraskan semula dan dikemas kini oleh syarikat serta agensi yang menyediakan program latihan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk penempatan pekerjaan pada masa depan atau bimbingan keusahawanan.

“NCIA kini sedang berhubung dengan perniagaan yang terjejas dan memberi bantuan kepada pekerja yang menganggur di Pulau Pinang melalui padanan pekerjaan serta penempatan dengan perniagaan yang kurang terjejas akibat pandemik dan sedang giat mengupah,” katanya.

Menurut Chow lagi, program intervensi strategik ini mencerminkan pendekatan holistik program modal insan NCIA melalui pelan pemulihan PENJANA kerajaan pusat dalam menangani kebimbangan mendesak pengangguran dan menjaga mata pencarian rakyat Pulau Pinang dalam tempoh berkenaan. – BERNAMA