TAPAH, 2 Okt — Kerajaan perlu berani memperkenal dasar baharu bagi menangani masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat negara ini dengan lebih berkesan dan serius.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berdasarkan rekod, sebanyak 5.6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia berada dalam kemiskinan.
“Ia termasuk sebanyak 40 peratus daripada kira-kira 200,000 keseluruhan Orang Asli di negara ini yang dilaporkan berada di garis kemiskinan. Jadi antara dasar yang perlu diusahakan termasuklah aspek meningkatkan kualiti pendidikan untuk golongan ini kerana ia merupakan perkara utama untuk berjaya.
“Apabila kita memperbaiki kualiti pendidikan, secara tidak langsung aspek ekonomi dan sosial mereka turut bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat program modal insan dalam komuniti Orang Asli sempena Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 di Dewan Jelutong, Pusat Rekreasi Kuala Woh di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan amat komited untuk menangani isu kemiskinan dalam kalangan rakyat malah sudah lama isu itu diperjuang namun masih terdapat golongan yang hidup dalam kemiskinan sama ada di dalam atau luar bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Jadi kita sedang mengadakan libat urus untuk memperkenal dasar baharu bagi memastikan kemiskinan dapat dikurangkan,” katanya.
Mustapa berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk mengenal pasti kaedah berkesan bagi meningkatkan kualiti pendidikan masyarakat pribumi tersebut dalam usaha menaik taraf kehidupan mereka.
Selain itu, beliau berkata cadangan dan input hasil seminar PGK 2019 yang diadakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan diguna pakai dalam penyelarasan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, khususnya untuk pembasmian kemiskinan.
Katanya selain pendidikan, Majlis Tindakan Ekonomi telah memutuskan untuk memajukan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan hutan seperti Pusat Rekreasi Kuala Woh yang merupakan antara destinasi ekopelancongan popular di Perak.
“Kita akan lihat bagaimana keindahan alam semula jadi ini dapat membantu penduduk setempat seperti lokasi ini, yang dibangunkan sebagai produk pelancongan, sekali gus memberi faedah kepada masyarakat setempat,” katanya.
Number: BERNAMA – Jumaat, 02 Oktober 2020