GEORGE TOWN, 5 Nov — Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 yang diluluskan baru-baru ini akan bertindak sebagai pemangkin kepada pemulihan ekonomi Pulau Pinang dalam persekitaran pandemik COVID-19.
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang untuk meningkatkan infrastruktur strategik di kawasan kurang membangun di negeri tersebut.
Kedua-dua pihak itu akan bersama-sama melaksanakan projek berimpak tinggi dan program modal insan di bawah NCER SDP untuk memudahkan pelaburan swasta, memberi keutamaan dalam penyediaan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran keusahawanan.
“NCIA telah melaksanakan pelbagai projek pemangkin di bawah SDP yang akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang sebanyak 26 peratus kepada RM128 bilion menjelang 2025.
“Projek strategik dan berimpak tinggi ini akan menjadikan Pulau Pinang menarik pelaburan kumulatif lebih daripada RM82 bilion menjelang 2025, mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu dan lebih daripada 22,000 usahawan baharu,” katanya.
NCIA berkata Pulau Pinang akan menjadi pusat penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam NCER, sesuai dengan slogannya sebagai pusat teknologi di rantau ini untuk mencapai pemulihan sosio-ekonomi pasca-COVID-19.
Pemacu utama hab teknologi itu ialah Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC), ia akan memperkukuhkan ekosistem elektrik, elektronik, mesin, peralatan, aeroangkasa, peranti perubatan di rantau ini, katanya.
“Keutamaan utama untuk Pulau Pinang juga adalah menaik taraf infrastruktur dan kemudahan Pelabuhan Pulau Pinang dalam memastikan negeri ini terus menjadi penghubung bagi logistik, perdagangan tempatan dan antarabangsa di rantau ini.
“Penambaikan yang dicadangkan akan meningkatkan kecekapan Pelabuhan Pulau Pinang untuk berfungsi sebagai pintu gerbang perdagangan dan meningkatkan daya saing NCER secara keseluruhan,” kata NCIA.
Ia berkata rancangan dan inisiatif lain oleh NCIA untuk memangkinkan pemulihan ekonomi Pulau Pinang termasuk Inisiatif Kampus Tunggal antara Pulau Pinang, Kulim dan Ipoh untuk mendorong kerjasama antara negeri, latihan teknikal yang berkaitan dengan industri khas, program peningkatan kemahiran untuk membangunkan bakat tempatan serta program modal insan NCIA yang telah memanfaatkan kira-kira 1,900 peserta dalam kalangan belia, wanita dan penganggur di Pulau Pinang.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata melalui program NCIA, industri di Pulau Pinang telah mewujudkan pekerjaan bagi mereka yang terjejas akibat COVID-19.
“Menciptakan nilai bagi rakyat dan komuniti perniagaan melalui inisiatif strategi yang digariskan dalam SDP adalah keutamaan kami,” katanya.
Sumber : Bernama – 5 November 2020 (Khamis)