02 Jul 2020 . News
Lebih 4,500 wanita di Kedah terima manfaat KIDA fasa dua

KULIM, 1 Julai — Seramai 4,547 wanita terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap di Kedah menerima manfaat bantuan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi fasa kedua.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata fasa kali ini berjalan untuk tempoh enam bulan iaitu bermula hari ini sehingga akhir tahun ini dengan penyerahan kad KIDA kepada penerima dilaksanakan selama 14 hari bermula di daerah Bandar Baharu dan diikuti daerah lain.

“Penyerahan kad KIDA pada hari ini untuk penerima di daerah Bandar Baharu melibatkan 45 penerima,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kad KIDA kepada penerima di Dewan Sri Serdang, Bandar Baharu dekat sini, hari ini.

Fasa satu program itu telah dilaksanakan bermula Mei 2019 dengan 4,281 penerima diberikan kad KIDA yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan bantuan rawatan kesihatan bernilai RM500 setahun.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata pembinaan jambatan baharu di Taman Serdang yang runtuh pada September 2018 sehingga mengorbankan nyawa dua remaja lelaki, dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun hadapan.

“Oleh kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), pembinaan Jambatan Taman Serdang ini dapat penjadualan semula yang ditangguhkan selama 84 hari,” katanya dan menambah bahawa kos pembinaan jambatan itu masih kekal RM2.7 juta.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata proses audit forensik akan dijalankan bagi menyiasat masalah kerosakan struktur yang agak serius pada bangunan Masjid Sultan Muhammad Al-Fateh di Serdang.

“Masjid utama daerah ini (Bandar Baharu) didapati mengalami masalah sejak 2015 iaitu setahun selepas ia siap dibina dan masalah mula dikesan pada bahagian menara bangunan,” katanya.

Sumber: BERNAMA