MALAYSIA berada di fasa kelima di dalam Strategi Pemulihan Ekonomi Negara 6R yang merangkumi pelaksanaan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara.

Ia digabungkan dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sebanyak RM15 bilion dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua ini akan mendorong pemulihan ekonomi Malaysia dengan memberi tumpuan kepada lima fokus utama.

“Fokus pertama mengawal penularan Covid-19 bagi membolehkan pembukaan ekonomi, berdasarkan penggunaan data dan pendekatan yang lebih bersasar.

“Langkah berkaitan termasuk meningkatkan kapasiti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan; memastikan tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dan penguatkuasaan SOP yang lebih ketat,” katanya dalam laporan Laksana ke-47, semalam.

Menurutnya, fokus kedua adalah memacu pemulihan ekonomi bagi terus memelihara kebajikan rakyat dan sektor terjejas.

“Ini termasuk memacu pemulihan ekonomi di peringkat akar umbi seperti pelaksanaan projek berskala kecil, Geran Khas Prihatin (GKP), Program Subsidi Upah (PSU) dan kemudahan kredit mikro.

“Fokus ketiga memperkukuh daya saing negara dengan antara lainnya, meningkatkan digitalisasi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Fokus keempat adalah memastikan agenda keterangkuman dengan mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah dan ketidaksamaan dalam masyarakat: wanita, belia, orang kelainan upaya, mereka yang kehilangan pekerjaan dan golongan rentan akan diberi tumpuan khusus.

“Manakala fokus terakhir mentransformasikan ekonomi kepada aktiviti berasaskan pengetahuan dan berpaksikan inovasi melalui, antara lainnya, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLC/GLIC),” katanya.