KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi 11 agensi di bawahnya menyediakan peruntukan lebih daripada RM7 billion kepada usahawan dan golongan terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata antara kumpulan yang mendapat manfaat daripada peruntukan itu adalah golongan terkesan kerana pandemik termasuk kumpulan informal serta perusahaan kecil sederhana (PKS).
“Daripada kumpulan informal yang menjual barangan tanpa lesen kepada golongan diberhentikan kerja, kementerian menjemput mereka menjadi usahawan dan pada masa yang sama, golongan yang belum bekerja, asnaf serta usahawan menggunakan modal sendiri turut menjadi tumpuan MEDAC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Let’s Xcess 2021 SME Bank Wilayah Kuala Lumpur & Selangor dan pelancaran ‘Business Exports Programme’ (BEP) di sini, hari ini.
BEP adalah program intervensi berstruktur yang diletakkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11).
Program berkenaan menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas.
Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi.
Source : Berita Harian – 24 September 2021 (Friday)
Source link : click here