KUALA LUMPUR: Pelancaran inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia esok, 19 Februari oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai jam 9 pagi, bakal menjana peluang lebih besar kepada setiap segmen ekonomi di samping merintis landasan tepat untuk menjadikan Malaysia Nadi Digital ASEAN.

MyDIGITAL adalah agenda besar, satu jenama negara yang akan memayungi pelbagai usaha serta inisiatif kerajaan dalam mentransformasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan serta menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Ekonomi Digital Malaysia yang turut dilancarkan bersama pula menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata MyDigital bertujuan menyediakan pelan pembangunan yang jelas untuk transformasi digital Malaysia dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Beliau berkata, inisiatif itu menawarkan pendekatan berpusat pada manusia terhadap penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, memelihara nilai manusia dan warisan budaya.

“MyDIGITAL merangkumi ‘rangka tindak’ holistik untuk mendorong pembentukan masyarakat yang sangat terintegrasi dengan teknologi, ditadbir secara inklusif serta adil bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya merealisasikan Malaysia 5.0.

“Program seperti #SayaDigital memberi peluang kepada golongan sasar untuk meningkatkan tahap literasi digital sambil mengambil peluang pendapatan atau kemahiran yang tersedia dalam ekonomi digital melalui inisiatif seperti Us

ahawan, eRezeki, PeDas and GLOW,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia terus mempercepat agenda ekonomi digital serta bersedia untuk merebut peluang ditawarkan menerusi pelaburan berimpak tinggi dengan MDEC sendiri akan mengambil peranan bersama bagi mengembangkan keupayaan digital rakyat Malaysia.

“Inisiatif seperti Let’s Learn Digital terus dipertingkatkan. Setakat ini lebih 3,800 kursus percuma ditawarkan yang menerima lebih 21,000 permohonan.

“Inisiatif MyDigitalmaker pula memanfaatkan kira-kira 1.6 juta pelajar sekolah di seluruh negara,” katanya.

Surina berkata, MyDIGITAL juga membantu golongan B40 dan perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam mendepani cabaran ekonomi digital, termasuk inisiatif tersedia yang dilaksana MDEC seperti 100GoDigital, SME Digital Accelerator, Smart Automation Grant, SME Digital Quickwins bagi memastikan perniagaan kecil dilengkapi kemahiran mencukupi.

“Hingga kini, 335,834 PKS sudah memasuki pasaran e-dagang. MDEC akan terus meningkatkan jangkauan programnya dalam sektor ini.

“Saya bersyukur kerana inisiatif PKS berjaya menarik banyak rakan kongsi seperti syarikat telekomunikasi dan bank untuk bersama-sama menyokong PKS dan usahawan dalam perjalanan digitalisasi mereka,” katanya.

MyDIGITAL dijangka mampu meningkatkan pendapatan PKS dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi. - Gambar hiasan
MyDIGITAL dijangka mampu meningkatkan pendapatan PKS dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi. – Gambar hiasan

Dalam pada itu beliau berkata, untuk rekod juga, pelaburan digital yang diterima secara kumulatif menerusi Koridor Raya Multimedia (MSC) sudah mencecah RM345 bilion serta mewujudkan hampir 185,000 peluang pekerjaan.

“Tahun lalu, pelaburan baharu oleh syarikat teknologi mencecah RM3.98 bilion dengan RM2.01 bilion oleh syarikat berkaitan teknologi digital yang mewujudkan lebih 9,000 pekerjaan baharu.

“Firma teknologi global yang beroperasi di Malaysia termasuk NTT, Hitachi Sunway, DKSH CSSS menunjukkan keyakinan syarikat global melabur di negara ini,” katanya.

Malaysia juga berjaya menarik banyak syarikat digital terkemuka dunia beroperasi di sini, termasuk penyedia perkhidmatan teknologi maklumat terkemuka di Hong Kong, China dan Asia Tenggara, PCCW Solutions, pemimpin global bagi penyelesaian untuk mempercepat kitaran inovasi, Clarivate serta Jardine Schindler Group dan ThunderSoft.

“MDEC mengalu-alukan syarikat yang ingin menguji teknologi baharu dan merancang strategi pengembangan pesat di rantau ini melalui Inisiatif Testbed Globalnya.

“Untuk pemula teknologi yang ingin beroperasi di Malaysia, terdapat inisiatif Hab Digital Malaysia MDEC, satu platform ideal untuk memulakan, berkembang dan meningkatkan operasi.

“Inisiatif ini akan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan teknologi digital supaya negara tetap kompetitif dan mempertahankan kedudukan dalam ekosistem rantaian global serta memungkinkan peningkatan permintaan untuk pekerjaan digital baru berkemahiran tinggi,” katanya.

Malaysia menduduki tempat ke-2 di ASEAN dan ke-26 peringkat global dalam IMD World Digital Competitiveness Ranking 2020 baru-baru ini.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) juga meletakkan Malaysia di kedudukan ke-34 negara terbaik di dunia dalam Laporan Kesediaan Rangkaian tahun lalu.