29 Jul 2021 . News
NCIA, Perak laksanakan program KIDR bantu golongan rentan

IPOH, 28 Julai: Selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak akan melaksanakan Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) mulai 1 Ogos ini, untuk membantu golongan rentan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Seramai 5,097 wanita serta 20,000 tanggungan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar bakal menerima bantuan ini bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dari jumlah tersebut, 1,104 penerima terdiri dari wanita dari komuniti Orang Asli.

Menurutnya, bantuan Program KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang disediakan oleh Kiplepay Sdn Bhd boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas dan rawatan kesihatan di klinik swasta.

“Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan selama lima (5) bulan untuk pembelian enam belas (16) jenis barangan keperluan asas.

“Bagi bantuan rawatan kesihatan, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga untuk tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program itu secara maya oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan beberapa barisan Exco kerajaan negeri.

Issace John berkata, peserta program KIDR telah dipilih dan disaring dari sistem eKasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan sistem iDamak milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di mana mereka berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019.

“Penyerahan Kad KIDR kepada penerima telah bermula sejak 19 Julai 2021 di seluruh 12 daerah di negeri Perak, dengan kerjasama semua Pejabat Daerah dan Tanah melalui penghulu-penghulu mukim manakala penyerahan kad tanpa tunai KIDR kepada penerima Orang Asli akan dilaksanakan oleh pihak JAKOA,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sebanyak RM7.4 juta telah diperuntukkan bagi Fasa 1 program itu sebagai manfaat kepada penerima program berkenaan.

Tambahnya, setiap penerima kad tanpa tunai KIDR boleh membeli barangan keperluan dari lebih 150 buah kedai runcit yang dilantik dan mendapatkan rawatan kesihatan dari 100 buah klinik berdaftar di bawah program ini.

“Perbelanjaan oleh penerima-penerima KIDR di kedai-kedai dan klinik-klink panel yang dilantik akan memberi kesan limpahan ekonomi dengan menggalakkan perkembangan perniagaan runcit di kawasan tersebut.” Katanya.

Beliau menjelaskan, program itu diadakan berikutan kejayaan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) di Kedah, untuk membantu golongan yang terkesan terutama semasa pandemik COVID-19.

“Kami yakin melalui Program KIDR dan lain-lain program integrasi modal insan NCIA, lebih ramai keluarga dapat diperkasa dan meningkatkan status sosioekonomi mereka yang terpinggir,” ujarnya.

 

 

Source : Suara Perak – 29  July 2021 (Thursday)

Source link : https://www.ncer.com.my/wp-admin/post.php?post=26527&action=edit