05 Feb 2021 . News
Nilai pelaburan NCER atasi sasaran awal, capai RM15.6 bilion pada 2020 – NCIA

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menarik pelaburan bernilai RM15.6 bilion pada 2020 dan angka itu mengatasi sasaran awal pada RM7 bilion, meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19.

Menerusi kenyataan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini, projek berimpak tinggi dan program modal insan utama akan terus dilaksanakan di wilayah ekonomi itu untuk menyokong perniagaan dan ekosistem rantaian bekalan seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA ke-25 secara dalam talian, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, selepas mempengerusikan mesyuarat, Muhyiddin berkata dunia pada hari ini sedang dilanda pandemik pada skala yang belum pernah disaksikan.

“Bagaimanapun, NCIA telah menerapkan langkah yang kukuh bagi mengatasi kesan pandemik COVID-19 ke atas rakyat dan komuniti perniagaan seperti yang digariskan dalam SDP NCER 2021-2025,” katanya.

Beliau berkata program modal insan berteraskan rakyat di bawah NCIA yang sedang berjalan seperti Kasih Ibu Darul Aman, empowerNCER Academic, Program Peningkatan Bakat NCIA dan Dana Usahawan Bumiputera telah digerakkan di seluruh NCER dengan lebih 27,000 peserta.

“Semua itu untuk memenuhi pelbagai bantuan kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 serta pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang telah dilaksanakan di seluruh negara bagi merangsang pemulihan pendapatan rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana termasuk mikro dalam sektor tidak formal,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, NCIA turut menyasarkan pertambahan pelaburan bernilai RM16 bilion dan 20,000 peluang pekerjaan pada 2021.

Ia menjelaskan projek pemangkin yang sedang dijalankan di seluruh NCER termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis, Bandar Getah Kedah, Pusat Teknologi dan Inovasi NCER di Pulau Pinang serta Taman Teknologi SilverValley di Perak yang merupakan antara benefisiari pelaburan strategik dan peluang pekerjaan tersebut.

Sementara itu, Ketua Ekesekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata pencapaian pada tahun lepas merupakan bukti terhadap usaha yang telah dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyediakan pelbagai aktiviti ekonomi mampan bagi komuniti perniagaan.

“Inisiatif pemulihan sosioekonomi yang terkandung dalam SDP NCER 2021-2025 memberi impak positif serta-merta kepada rakyat selari dengan inisiatif pemulihan kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, NCIA telah mewujudkan lebih 22,000 pekerjaan dalam sektor pembuatan, logistik, ekonomi digital, pelancongan, agrobiologi, dan ekonomi hijau menerusi pelaburan dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

 

 

Source: Bernama- 4 February 2021 (Thursday)