SUNGAI PETANI, 7 Nov — Pelbagai program yang menjurus ke arah pembangunan telah dilaksana dan akan terus dirangka kerajaan negeri bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan aktiviti keusahawanan di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata program-program tersebut bukan hanya diperkenalkan kerajaan negeri tetapi juga agensi lain yang komited meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat dan membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
“Hari ini kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah melancarkan empat program pembangunan modal insan dan keusahawanan bagi membantu memperkasa pendapatan rakyat Kedah terutamanya golongan B40.
“Keempat-empat inisiatif yang diperkenalkan ini adalah usaha untuk menangani jurang kemahiran dan memastikan pembasmian kemiskinan di negeri ini dapat ditangani secara holistik,” katanya selepas melancarkan Program-program Modal Insan: Menyemarak Kemakmuran, Memperkasa Rakyat peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Program-program tersebut ialah empowerNCER, entrepreneurNCER, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Mudahcara Bumiputera (DMB).
Mukhriz berkata keempat-empat program itu disasarkan secara khusus kepada golongan belia, penganggur, usahawan mikro dan Orang Asli selain wanita yang menerima bantuan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).
Menjelas lanjut, beliau berkata program empowerNCER dirangka bagi memberi kemahiran asas kepada peserta dalam pelbagai bidang termasuk spa, pendawaian dan jahitan manakala entrepreneurNCER pula fokus kepada membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana.
“Melalui NTEP pula, peserta akan diberi latihan kemahiran kerja dalam usaha memastikan tenaga kerja mahir cukup bagi memenuhi keperluan industri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), manakala program DMB pula, usahawan Bumiputera akan diberikan sokongan berbentuk pembiayaan,” katanya
Sumber: BERNAMA