26 Aug 2021 . News
Pendekatan NCIA patut dicontohi agensi lain

COVID-19 menguji kita dalam banyak perkara. Ada yang diuji kesabaran, ada yang diuji ketabahan diri, ada yang diuji dengan kehilangan pekerjaan dan ada juga yang diuji dengan kehilangan orang yang tersayang.

Semua ujian itu membuatkan ramai daripada kita bertambah cekal dan pada sesetengah pihak, ia menjadikan mereka lebih peka pada persekitaran serta bertindak sebaik mungkin bagi menentukan rakyat yang dibantu benar-benar mendapat bantuan.

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) adalah salah sebuah agensi kerajaan yang saya maksudkan dalam konteks ini. Ia ditubuhkan pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bertujuan sebagai sebuah badan berkanun bertanggungjawab menghasilkan polisi dan strategi terbaik bagi membantu pembangunan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia melibatkan empat buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam usaha membangunkan ekonomi rakyat di empat buah negeri berkenaan, saya dapat melihat bagaimana NCIA memberi tumpuan menyeluruh dalam setiap inisiatif yang mereka laksanakan. Mereka tidak hanya tertumpu kepada pembangunan ekonomi tetapi mengambil kira rakyat yang terlibat dalam perniagaan dan mereka yang mencari peluang pekerjaan.

Selain itu, NCIA turut sama memberi fokus kepada anak-anak golongan miskin agar melalui pendidikan, mereka mampu membawa keluarga mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

Pendekatan yang lebih holistik itu penting untuk dicontohi bagi menentukan impak daripada setiap inisiatif yang diambil benar-benar meninggalkan kesan yang memberi makna kepada rakyat.

Kali ini saya ingin memberi fokus kepada satu inisiatif yang saya kira amat bermakna dilaksanakan oleh NCIA. Program itu dikenali sebagai Program empowerNCER Akademik.

Walaupun dengan kekangan sesi pembelajaran secara bersemuka akibat Covid-19, ia tidak menjejaskan usaha NCIA memastikan pelajar Tingkatan Lima golongan B40 dan lemah akademik daripada empat buah negeri di utara Semenanjung itu mendapat manfaat melalui program tersebut.

 

 

Source : Premium Sinar Harian – 26 August 2021 (Thursday)

Source link : https://premium.sinarharian.com.my/article/153126/mediasi-kritis/cetusan/pendekatan-ncia-patut-dicontohi-agensi-lain