IPOH, 16 DIS – Kerajaan negeri menyasarkan nilai pelaburan di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pada tahun 2021 adalah sebanyak RM2.5 bilion, kata Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.
Beliau berkata, setakat ini, nilai pelaburan yang telah direalisasikan dalam pelbagai sektor di Negeri Perak dari 1 Januari sehingga 31 Oktober pada tahun ini ialah sebanyak RM1.98 bilion.
Katanya, sehingga September 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan dalam sektor pembuatan di Negeri Perak bernilai RM2.2 bilion yang melibatkan 77 buah projek yang menawarkan 3,790 peluang pekerjaan.
“Seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik COVID-19, dan Malaysia tidak terkecuali. Hampir setiap sektor ekonomi Negara telah mengalami penguncupan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 yang bertemakan “Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif” di Dewan Negeri Perak di sini, petang ini.
Saarani berkata, meskipun begitu, berkat pelbagai inisiatif serta pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri, terdapat tanda-tanda awal ke arah pemulihan.
Katanya, momentum penambahbaikan diharapkan menjadi lebih ketara apabila dana-dana yang disuntik oleh Kerajaan mula memberi kesan yang positif dalam merangsang pemulihan ekonomi dan mengurangkan himpitan duka lara yang dialami rakyat.
“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menguncup sebanyak 4.5 peratus bagi keseluruhan tahun 2020 berbanding dengan penguncupan 8.3 peratus pada separuh tahun pertama.
“Ini didorong oleh pemulihan prestasi bagi sektor pembuatan dan penurunan yang lebih kecil bagi sektor perkhidmatan, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan. Walau bagaimanapun, sektor pertanian menyusut secara marginal berbanding pertumbuhan positif pada suku tahun kedua 2020,” ujarnya.
Saarani menambah, jika dilihat kadar pertumbuhan KDNK Negeri Perak bagi tahun 2019 adalah 4 peratus dengan nilai yang dicatatkan RM75.9 bilion iaitu meningkat sebanyak RM2.9 bilion berbanding tahun 2018.
Katanya, kesemua sektor ekonomi Negeri Perak pada tahun 2019 mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sektor perkhidmatan sebanyak 4.5 peratus, sektor pembuatan 3.5 peratus, sektor pertanian 2.9 peratus, sektor pembinaan 6.4 peratus serta sektor perlombongan dan pengkuarian 5.0 peratus.
“Berdasarkan perspektif sumbangan aktiviti utama di Perak bagi tahun 2019, subsektor perdagangan runcit, penginapan dan makanan serta minuman merupakan antara komponen utama bagi industri berasaskan pelancongan yang menyumbang 18.3 peratus kepada keseluruhan sektor perkhidmatan.
“Sementara itu, nilai ditambah bagi sektor pembuatan didominasi oleh subsektor elektrik, elektronik dan optikal, produk mineral bukan logam, minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta produk getah dengan jumlah sumbangan sebanyak 62.5 peratus.
“Manakala sektor pertanian disumbangkan oleh aktiviti tanaman kelapa sawit iaitu 32.9 peratus dan ternakan, 23.7 peratus,” ujarnya.
Menteri Besar berkata, pada pembentangan Belanjawan yang lepas, Kerajaan Negeri telah mengunjurkan Belanjawan defisit sebanyak RM103.2 juta bagi tahun 2020.
Walau bagaimanapun, katanya, berdasarkan kepada situasi semasa berakhir 30 November 2020, kedudukan kewangan adalah defisit RM86.4 juta, iaitu turun 16.3 peratus atau RM16.8 juta berbanding unjuran asal.
Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2020, defisit itu dijangka dapat diturunkan sekurang-kurangnya kepada RM40.0 juta.
Sumber: Suara Perak – 16 Disember 2020 (Rabu)