KUALA LUMPUR – Rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mencatatkan peningkatan 6.1 peratus untuk pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2021, melantun dengan kukuh daripada penguncupan dua peratus pada suku pertama 2020.
Menurut laporan terkini oleh Unit Sokongan Dasar APEC (PSU), cabang penyelidikan dan analisis untuk forum berkenaan, angka ini selesa untuk meletakkan rantau di landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan bagi tahun 2021 yang diunjurkan pada 6.4 peratus.
ADVERTISING
Laporan itu menyatakan pertumbuhan yang tinggi pada suku pertama 2021 didorong oleh gabungan beberapa faktor termasuk titik perbandingan yang rendah berikutan penguncupan ekonomi yang besar setahun lalu selain perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi berikutan kesan pandemik yang berterusan terhadap aktiviti ekonomi, sementara penggunaan domestik pula meningkat dengan ketara dalam tempoh ini.
Dalam jangka masa terdekat ini, unit itu masih melihat langkah-langkah rangsangan daripada kerajaan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
Menurut laporan itu lagi, penggunaan swasta akan turut mendapat keyakinan kerana pengguna dijangka dapat memanfaatkan simpanan mereka yang terkumpul, sebahagiannya disebabkan oleh pemindahan wang tunai dan subsidi yang luas kepada isi rumah.
“Program dan pemberian vaksinasi masih memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pemulihan di rantau ini.
“Kami masih melihat jurang perbezaan dalam akses kepada liputan vaksinasi di seluruh APEC; ekonomi dengan pemberian vaksin yang lebih cepat serta sokongan fiskal berterusan akan pulih lebih pantas dan kuat, sementara ekonomi yang masih bergelut mendapatkan akses vaksin dan mempunyai ruang fiskal yang terhad akan memerlukan lebih banyak masa untuk pulih kerana ketidakpastian ini,” demikian menurut kata pengarah PSU APEC, Dr Denis Hew.
Liputan vaksinasi di seluruh APEC sangat berbeza, antara 148 dos untuk setiap 100 penduduk hingga ke serendah hanya satu dos setiap 100 penduduk.
Source : Sinar Harian – 18 August 2021 (Wednesday)
Source link : https://www.sinarharian.com.my/article/156047/BISNES/Rantau-APEC-catat-pertumbuhan-ekonomi-kukuh