KUALA LUMPUR: Tujuh keutamaan yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bertepatan dengan apa yang diperlukan Malaysia mengambil kira kehendak dan keperluan semasa serta akan datang.

Keutamaan berkenaan disusun supaya negara kembali pulih daripada kemelesetan ekonomi susulan penularan COVID-19 sekali gus meletakkan negara di landasan pembangunan jangka panjang.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata RMK-12 adalah wawasan atau hala tuju yang dinantikan semua semua pihak termasuk pelabur asing mahupun tempatan, syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk berkembang bersama ekonomi Malaysia.

“Semua keutamaan berkenaan harus dilaksanakan untuk mencapai hasrat jangka panjang Malaysia. Isu belanjawan dan pelaksanaan haruslah dipercepatkan kerana ia menentukan perkembangan Malaysia bukan sahaja dari aspek ekonomi malah sosial, kesihatan dan politik yang saling berkait serta memerlukan pelaksanaan yang tepat dan jitu.

“Keutamaan yang ditekankan dalam RMK-12 telah mengambil kira semua faktor utama terutama keadaan yang dialami negara sekarang. Contohnya, teknologi dan kesihatan berkembang pesat semasa COVID-19 diberikan tugas menjadi peneraju utama ekonomi negara.

“Mengalihkan industri negara ke sektor berteknologi tinggi daripada berlandaskan faktor buruh murah adalah sesuatu yang memerlukan komitmen dan kekuatan politik yang jitu kerana ia memberi impak yang besar seperti pengambilan pekerja asing dan masalah sosial,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi mengesyorkan diwujudkan ekosistem untuk ekonomi digital negara bukan sahaja menggalakkan syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk dipacu secara dalam talian sebaliknya tidak mahu terlalu bergantung kepada penyedia platform e-dagang dominan.

Jelasnya, ekosistem sedemikian harus mencakupi sektor logistik seperti penghantaran kurier, pengangkutan dan gudang yang menjadi penyokong kejayaan platform e-dagang.

“Ini semua menjadikan satu ekosistem yang penting untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat tempatan jika tidak, akan didominasi oleh firma multinasional luar yang mengambil keuntungan perkembangan ini dan juga mengutip data rakyat Malaysia tanpa kita sedari,” katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Dr A T Kumararajah, berkata pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tujuh keutamaan dalam RMK-12 adalah usaha murni kerajaan dalam memperkasa negara yang terkesan dengan krisis kesihatan global.

Untuk memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jaya, beliau menggesa semua pihak bersatu padu dengan menyokong segala usaha kerajaan dalam membangunkan negara dalam tempoh sukar.

“Pihak kerajaan dan swasta perlu berganding bahu untuk menuju kehadapan dalam tempoh pasca COVID-19. Tanpa kerjasama, kita tidak akan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kerajaan perlu memberi perhatian dan penekanan terhadap isu-isu atau maklumat yang disalurkan oleh sektor swasta dalam membuat sebarang keputusan berhubung ekonomi ekonomi dan sosial.

“Walaupun kerajaan telah melaksanakan lima pakej rangsangan ekonomi dan ia telah memberi impak kepada negara serta komuniti, namun masih perlu diperhalusi serta diberi perhatian sewajarnya,” katanya.