News

NCIA Luluskan Pelaburan Sebanyak RM17.25 Bilion

19 Aug 2022

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion dalam tempoh Januari sehingga 31 Julai lalu yang akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua pelaburan itu disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) serta Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Perkembangan positif ini termasuklah pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

“Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Anggota NCIA Kali Ke-29 yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Cow Kon Yeow; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

“NCIA bersama-sama kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

“Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER,” ujar beliau.

Jelas Perdana Menteri, tabung tersebut adalah bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan.

Tambah beliau, mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

“Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Source: Kosmo – 19 August 2022 (Friday)
ready to invest

READY TO INVEST?

Explore investment opportunities with us. Get in touch to learn more.

 

Contact Us

unlock the future

unlock the future

Explore what NCER has to offer and be part of the narrative that propels us forward.

 

View Reports