News

Pendapatan, Keuntungan Hong Seng Meningkat Ketara

01 Mar 2022

KUALA LUMPUR: Hong Seng Consolidated Bhd (Hong Seng) hari ini mengumumkan keputusan suku pertamanya yang berakhir pada 31 Disember 2021 (Q1FY22) yang menyaksikan lonjakan ketara dalam pendapatan dan keuntungannya.Ia disumbangkan terutamanya oleh segmen penjagaan kesihatan dan sarung tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata pendapatannya pada suku dalam kajian menunjukkan peningkatan tiga kali ganda kepada RM75.86 juta daripada RM25.29 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan selepas cukai (PAT) yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat melonjak lebih sepuluh kali ganda kepada RM41.38 juta berbanding RM3.04 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan sesaham juga meningkat kepada 1.62 sen pada Q1FY22 (tempoh kewangan tiga bulan berakhir 31 Disember 2021), berbanding 0.59 sen pada tempoh kewangan tiga bulan berakhir 31 Disember 2020.

Kumpulan itu berkata, keputusan cemerlang itu didorong terutamanya oleh peningkatan pendapatan dan keuntungan daripada segmen penjagaan kesihatan serta perniagaan pembuatan sarung tangan sejak memulakan pengeluarannya pada Oktober 2021.

Pengarah Urusan Hong Seng Group, Datuk Seri Teoh Hai Hin berkata: “Langkah pengembangan agresif Hong Seng ke dalam perniagaan baharu telah mula membuahkan hasil apabila Kumpulan secara konsisten mencatatkan keputusan kewangan yang positif pada suku kebelakangan ini.

“Walaupun persekitaran ekonomi kekal mencabar di tengah-tengah pandemik Covid-19, kami dijangka mampu kekal berdaya tahan dalam mengharungi tempoh ini dan akan terus berusaha untuk mencatat prestasi yang lebih baik dalam suku kewangan akan datang.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan beberapa lagi projek baharu, yang mana jika ia menjadi kenyataan, akan meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang lebih kukuh. Cabang penjagaan kesihatan Hong Seng, HS Bio Group juga terus menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan menyumbang sebahagian besar pendapatan kami. Dengan momentum yang semakin pantas ini, kami menyasarkan untuk menyenaraikan syarikat itu dalam masa terdekat agar dapat memberi ganjaran yang seterusnya kepada pemegang saham kami.”

Katanya, kumpulan telah melaksanakan langkah pengembangan yang agresif dengan mendokong empat pemacu pertumbuhan utama iaitu Penjagaan Kesihatan, Pembuatan Sarung Tangan, Lateks Nitrile Butadiene (NBL) dan Perkhidmatan Logistik Bersepadu.

Ia sekali gus dijangka mengubah Hong Seng menjadi sebuah konglomerat dengan pelbagai segmen perniagaan yang mana semuanya berpotensi besar sama ada di dalam dan luar negara.

Anak syarikat milik penuh Kumpulan, Hong Seng Gloves Sdn Bhd (HS Gloves) telah memulakan operasi barisan pengeluaran berganda celupan sarung tangan Nitrile Butadiene Rubber (NBR) di Sungai Petani, Kedah sejak Oktober 2021 daripada hanya dua barisan pada mulanya dan akhirnya sudah meningkat kepada empat barisan setakat ini.

Sementara itu, HS Gloves, katanya, menjangka dapat memulakan pengeluaran barisan kelima dan keenamnya menjelang Mac 2022 sementara menunggu penambahan bekalan kuasa selesai.

Seterusnya, kumpulan merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran sehingga 16 barisan pengeluaran menjelang akhir 2022.

Kumpulan itu turut menyandarkan kepada cabang perniagaan penjagaan kesihatannya, HS Bio Group untuk menjadi peserta paling komprehensif dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dengan penyelesaian pengurusan rantaian bekalan perubatan hujung-ke-hujungnya.

HS Bio terbabit secara aktif dalam menguruskan keseluruhan rantaian bekalan hujung-ke-hujung bagi proses ujian Covid-19 yang dikenali sebagai HealthChain.

HealthChain merangkumi segala-galanya daripada proses di peringkat hadapan hingga ke belakang, logistik fizikal, platform penjagaan kesihatan digital, kemudahan makmal dan perkhidmatan penyelidikan & pembangunan (“R&D”), serta penyediaan bekalan perubatan & penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Kumpulan melalui anak syarikat milik penuhnya Hong Seng Industries Sdn Bhd (HS Industries) telah memeterai perjanjian dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Malaysia (NCIA) untuk menyewakan semula tanah perindustrian seluas 102.6 ekar yang terletak di Kedah Rubber City (KRC) bagi tujuan pembukaan kilang pembuatan NBL bersepadu bertaraf dunianya dengan kapasiti terancang sehingga 960KTPA dalam empat (4) fasa. NBL adalah bahan mentah yang diperlukan untuk menghasilkan sarung tangan nitril.

Source: Berita Harian, Malaysia – 1 March 2022 (Tuesday)
ready to invest

READY TO INVEST?

Explore investment opportunities with us. Get in touch to learn more.

 

Contact Us

unlock the future

unlock the future

Explore what NCER has to offer and be part of the narrative that propels us forward.

 

View Reports