News

Perak Tetap Teruskan Projek Silver Valley Technology Park

19 Jan 2022

IPOH, 17 Jan – Kerajaan Perak akan tetap melaksanakan projek pembinaan kawasan perindustrian Silver Valley Technology Park di Kanthan dekat sini, dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata keperluan mewujudkan kawasan perindustrian berkenaan adalah bersandarkan kepada permintaan pemain industri luar yang berminat untuk melabur di Negeri Perak.

Katanya projek berkenaan akan segera dilaksanakan setelah urusan mahkamah berkaitan penerokaan tanah di kawasan berkenaan oleh petani selesai.

“Kita memang sedang buat (projek ini selepas) selesai sahaja semua kisah ini (tindakan mahkamah), kerana kita telah menerima permintaan tinggi daripada semua pelabur.

“Oleh kerana kawasan perindustrian di Selangor dan Pulau Pinang telah sesak, maka mereka berminat untuk datang ke Perak. Dan kita pun sedang menyediakan prasarana untuk menarik kedatangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Doa Selamat dan Santai Bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak di Dewan Azumu, Halaman Meru Impian di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Pada program turut disampaikan bantuan pertanian daripada Jabatan Pertanian Negeri kepada empat petani di Daerah Kinta yang meliputi bantuan untuk tanaman sayuran, pembangunan komoditi yang berpotensi, dan pembangunan industri asas tani.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang penerokaan tanah di kawasan terbabit, Saarani memberitahu tindakan mahkamah masih berjalan selepas proses rundingan yang diadakan sebelum ini tidak menampakkan jalan penyelesaian.

Sebelum ini dalam Persidangan Dewan Negeri (DUN) Perak pada Disember lalu, Saarani menjelaskan tindakan pengusiran petani di Kathan adalah disebabkan tanah berkenaan merupakan zon perindustrian.

Walau bagaimanapun katanya kerajaan negeri menyediakan satu kawasan lain yang merupakan zon pertanian untuk membolehkan yang terlibat untuk meneruskan aktiviti pertanian mereka.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri bersedia untuk menyiasat gambar yang tular di media sosial dengan memaparkan sebilangan pokok balak yang ditebang didakwa di hutan simpan di negeri ini.

“Kalau dilihat gambar berkenaan seperti gambar lama, akan tetapi kita bersedia untuk menyiasat kesahihan perkara itu. Jika ia adalah perkara baharu, Jabatan Perhutanan Negeri akan menjalankan siasatan.

“Ini kerana sekiranya mendapati benar berlaku aktiviti berkenaan, mereka yang terlibat akan berdepan tindakan undang-undang yang berat,” jelas beliau.

Source: Suara Perak – 19 January 2022 (Wednesday)
ready to invest

READY TO INVEST?

Explore investment opportunities with us. Get in touch to learn more.

 

Contact Us

unlock the future

unlock the future

Explore what NCER has to offer and be part of the narrative that propels us forward.

 

View Reports